Berita Terkini
recent

CCIG wujud aplikasi mudah alih

DEMI membela nasib kru di belakang tabir, Gabungan Industri Kandungan Kreatif (CCIG) mengambil pendekatan untuk membangunkan aplikasi mudah alih yang dijadualkan siap sepenuhnya hujung November nanti.

Pengerusi CCIG, Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, pembangunan aplikasi mudah alih itu bertujuan untuk mempromosikan semua ahli CCIG sekali gus memudahkan pencarian bakat dalam kalangan kru di belakang tabir.

Secara tidak langsung, katanya, kewujudan aplikasi itu akan memberi kelebihan kepada semua ahli CCIG terutamanya yang telah ditauliahkan dalam membuka peluang dan ruang sekali gus bekerjasama dengan penerbit dan pelabur dari dalam dan luar negara.

"Semua ahli CCIG yang telah ditauliahkan dapat mengemas kini butir-butir serta hasil kerja mereka dengan lebih cepat dan mudah.

"Bahkan, semua ahli juga akan mendapat notifikasi mengenai kursus, kelas atau latihan yang akan di buat bagi bertujuan untuk upskilling dan reskilling sekali gus membantu meningkatkan kemahiran dan kompetensi mereka dalam industri.

"Paling utama, tujuan kita membangunkannya adalah untuk mengukuhkan lagi peranan CCIG di mata industri," katanya dalam Majlis Penyampaian Sijil Pengakuan Sah Industri Kreatif dan Pelancaran Buku Coffee Table CCIG, baru-baru ini.

Katanya, CCIG yang mempunyai hampir 7000 ahli, berperanan memberi pengiktirafan kepada semua ahlinya dalam industri kreatif sama ada di peringkat tempatan atau antarabangsa.

Malah, Jurey turut menggesa agar pekerja di belakang tabir mengambil peluang melibatkan diri dalam program Pengakuan Sah Industri Kreatif bagi memastikan sasaran kerajaan dalam membangunkan pekerja mahir akan terlaksana.

"Macam hari ini, seramai 46 individu berjaya mendapat pengiktirafan Sijil Pengakuan Sah Industri Kreatif bagi bidang kerjaya masing-masing.

"Program ini dikhususkan bagi meraikan individu yang telah ditauliahkan melalui proses pengakuan sah CCIG (Ahli bertauliah CCIG).

"Sekurang-kurangnya, ia sebagai satu pengiktirafan daripada industri kepada industri sekali gus menjadi satu industri yang sihat dan berdaya saing," katanya.

Rentetan itu, Jurey menyeru agar semua pengamal industri kreatif bersatu dan bersama menjayakan initiatif kerajaan ini dengan berada dibawah satu bumbung.

Ini kerana, katanya, CCIG mendapat dana sepenuhnya dari kerajaan menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) fokus untuk meningkatkan profesionalisme modal insan industri kandungan kreatif di negara ini.

“Apabila ini berlaku, ia memudahkan kita untuk mengadakan sesi perbincangan dengan pihak bertanggungjawab demi membela nasib mereka.

"Lagi pula, industri ini bersifat 'supply in demand'. Paling penting, apabila ada pangkalan data yang lebih bersistematik, maka pelabur atau penerbit luar dalam akan lebih percaya terhadap kemampuan kru belakang tabir ini," katanya.

Pada masa sama, Jurey turut melancarkan Buku Coffee Table CCIG yang menceritakan mengenai penubuhan persatuan itu.

Anugerah DC32017

Sementara itu, CCIG dengan kerjasama Universiti Multimedia (MMU) turut menawarkan hadiah bernilai RM94,000 yang menyertai Pertandingan Rekacipta Kandungan Kreatif Digital 2017 (DC32017).

Menurut Jurey, pertandingan itu merupakan satu platform dalam melahirkan pasukan tenaga kreatif industri (creative force) yang akan menggerakkan landskap pembangunan industri kreatif melalui spektrum imaginasi, teknologi, inovasi dan kreativiti yang mampu menjadi realiti.


Ini kerana, katanya, program ini turut menyahut seruan kerajaan dalam membina sinergi dua hala bersama generasi muda melalui platform perkongsian bakat yang berinsiprasikan Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang menjadi penanda aras pembangunan negara,

"Selama ini, kita hanya bercakap mengenai TN50 tetapi tak dapat menggambarkan tahap kefahamannya.

"Jadi, kita buat pertandingan ini dan minta agar semua masyarakat menterjemah idea dalam bentuk visual menerusi beberapa kluster lain," katanya.

Katanya, kategori yang dipertandingkan termasuklah fotografi, manipulasi imej digital, rekaan media baru / aplikasi multimedia dan video digital.

Menerusi empat kategori itu, terdapat pula pecahan peserta seperti kategori terbuka, pelajar pengajian tinggi dan pelajar sekolah.

Pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan akan diraikan menerusi Anugerah DC3 yang akan diadakan pada 25 November depan.

Selain CCIG dan MMU, pertandingan ini turut mendapat sokongan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

"Sekurang-kurangnya, kita menggalakkan pembabitan golongan generasi muda untuk meneruskan bidang ini," katanya.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.