Berita Terkini
recent

Cari ketenangan terlebih dulu

Selepas sah bercerai talak satu dengan Adam Fahmy, 38, pada 23 Oktober lalu, penyanyi lagu Hi Hi Bye Bye, Ezlynn mengakui sudah ada lelaki yang cuba berkenalan dengannya.

Namun, Ezlynn atau nama sebenarnya Azline Ariffin, 36, tidak mahu terburu-buru dalam soal itu kerana masih inginkan ruang dan ketenangan dalam hidup.

“Sebenarnya, apabila kembali solo memang sedih. Tempoh enam tahun berkahwin bukan jangka masa yang pendek. Banyak perkara dilalui yang setiap daripadanya saya jadikan pengalaman hidup.

“Cuma, apabila melalui episod perceraian, saya menganggap ini ketentuan daripada Allah. Saya terima dengan hati terbuka. Malah, saya sentiasa berdoa semoga Allah berikan ketenangan.

“Diakui ramai yang mula nak berkenalan, tetapi buat masa sekarang belum masanya lagi. Saya tak suka nak cepat-cepat. Untuk apa? Saya tetap berdiri atas kaki sendiri dan berdikari dari dulu sampai sekarang,” katanya.

Bagaimanapun, Ezlynn tidak bermaksud dia serik untuk berkahwin lagi.

Menurut Ezlynn, belum masanya lagi dia mencari pengganti bagi mengubat kekecewaan hati. Cuma, dia tetap percaya kepada jodoh dan takdir Allah.

“Serik atau tidak, bukan perkara utama. Macam sekarang, apa yang lebih penting adalah nak mulakan hidup baru.

“Saya nak bermula daripada kosong semula. Orang kata, cuci balik kain putih yang pernah kotor. Jadi, tidak timbul istilah serik atau sebaliknya. Saya hanya menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.

Pada masa sama, Ezlynn menepis tanggapan segelintir pihak yang mengatakan dia tidak menghormati tempoh idah dilalui.

“Betul, apabila dalam tempoh idah seorang wanita dinasihatkan untuk duduk di rumah. Namun, dalam situasi sekarang, saya perlu keluar untuk bekerja. Kalau tak bekerja, saya nak makan apa?

“Jadi, berada dalam bidang seni ini memerlukan saya untuk keluar. Saya harap tidak ada pihak yang cuba memandang perkara ini sebagai sesuatu yang negatif,” katanya.

Terus menyanyi

Berkongsi mengenai perjalanan seninya, Ezlynn berkata, dia kini menyertai syarikat pengurusan artis, Indigital Music sekali gus berharap kerjayanya berjalan lebih lancar selepas ini.

“Disebabkan ada sedikit masalah dengan pengurusan sebelum ini, saya tidak mahu pihak sana rasa tertekan untuk menguruskan saya. Biar ada masa untuk diri sendiri, beri ruang antara satu sama lain. Jadi, saya minta pihak Indigital membantu saya.

“Insya-Allah, sebagai permulaan saya bakal merakamkan single baru. Ramai sedia maklum, saya lebih sinonim dengan lagu rancak dan suara juga sesuai dengan rock balada. Tengok lagu mana yang terbaik,” katanya yang meminati karya Tam Spider.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.