Berita Terkini
recent

Cabar kemampuan diri

Tak kenal maka tak cinta. Apabila sudah kenal, cintanya pada dunia pengacaraan mula berbunga.

Itulah yang dirasai penyanyi baru, Shahrul Amin, 21, apabila diberi kepercayaan mengendalikan program Travelog BackPackers (Balkan), buat kali pertama.

Penyanyi yang bakatnya dicungkil menerusi program Akademi Fantasia 2015 (AF2015) itu mengakui menerima tawaran menjadi pengacara kerana mahu mencabar kemampuan diri.

Katanya, dia tidak teragak-agak untuk mencuba kerana berasakan ini saja peluang untuknya mendalami bidang baru dan mengembangkan bakat dalam cabang seni lain.

“Dunia seni ini luas dan menyedari diri saya lemah dari segi pengucapan umum, apabila peluang ini diberikan ia sedikit sebanyak mampu mengajar saya untuk bercakap dan berinteraksi di hadapan kamera,” katanya.

Shahrul atau Muhammad Shahrul Amin Kamarozaman berharap percubaan pertama itu akan memberikan dia lebih keyakinan apabila tampil di pentas dan berinteraksi dengan penonton.

Katanya, saat awal penggambaran dijalankan dia perlu mengambil masa dan berasa amat susah.

“Susah macam manapun, pada saya ia sangat berharga. Sebabnya ia bukan saja membentuk saya menjadi pengacara tetapi apabila mengadakan persembahan secara automatik skill yang saya peroleh itu boleh digunakan. Sambil menyanyi saya boleh berinteraksi dengan penonton,” katanya.

Hampir sebulan penggambaran menjelajah ke tujuh negara itu, Shahrul gembira kerana banyak pengalaman menarik diperoleh serta mengenal budaya kehidupan masyarakat di sana.

“Saya dapat merasai pelbagai jenis makanan, memandangkan penggambaran berjalan dalam musim luruh menjadikan kerja berjalan dalam keadaan tenang dan asyik,” katanya.

Mengenai cabaran didepani, pemuda berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan itu akui kepayahan memang dirasai terutama dalam corak persembahan apabila harus menjaga pertuturan dan tidak boleh menggunakan bahasa pasar.

“Selain harus menjaga pertuturan, waktu sama harus menghafal skrip dan mengingati fakta,” katanya.

Program bakal disiarkan di saluran TVi itu menampilkan pengembaraan Shahrul di beberapa bandar menarik di Croatia, Bosnia & Herzegovina, Montenegro, Macedonia, Albania, Bulgaria dan Turki.

Sepanjang penggambaran, Shahrul membawa penonton menyaksikan beberapa tempat menarik di rantau Balkan seperti tempat tumpuan indah Tasik Platvice, Jambatan Stori Most Mostar, bangunan bersejarah, muzium, ladang dan lokasi beli-belah.

Dalam segala kepayahan itu, Shahrul gembira kerana cintanya pada dunia pengacaraan mula berbunga. Begitupun ia tidak bermakna dia akan meninggalkan kerjaya nyanyian, cuma kalau ada yang menawarkan dia tidak keberatan untuk melakukannya lagi.

Mengenai kerjaya nyanyian, Shahrul yang pernah menghasilkan single Hanya Kamu menjelaskan, dia baru saja tampil dengan karya terbaru ciptaan sepenuhnya Aepul bersama Drama Band, Racun Rindu.

“Saya juga kini bernaung di bawah syarikat ditubuhkan Aepul, ARE Studio. Antara sebab saya menerima untuk bekerjasama dengan Aepul adalah dia seorang insan seni yang berpandangan jauh.

“Kata-kata Aepul yang memberitahu bahawa sebagai penyanyi dalam keadaan dan situasi sekarang payah untuk kekal sampai bila-bila. Jadi dia cuba membentuk saya menjadi penerbit dan jurutera bunyi. Malah saya banyak melakukan kerja-kerja studio,” katanya.

Shahrul juga akui lebih yakin mendendangkan lagu daripada pencipta dan komposer yang dikenali berbanding lagu ciptaan sendiri.

Katanya, dalam berkarya nama komposer dan penulis lirik juga turut memainkan peranan penting untuk menarik minat umum untuk mendengar karya dihasilkan.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.