Berita Terkini
recent

Buat lagak ngeri sendiri

Lazimnya lakonan aksi lagak ngeri dalam filem dan drama bersiri diserahkan kepada pakar. Bagaimanapun, ada pelakon memilih melakukan aksi sendiri biarpun menyedari tindakan itu boleh mendatangkan bahaya kepada mereka.

Keenganan pelakon menggunakan khidmat pakar kerana mereka mahukan babak aksi nampak tulen dan realistik.

Berikut antara 10 artis terkenal Hollywood yang nekad melakukan aksi lagak ngeri sendiri.

1. Tom Cruise

Pelakon ini sememangnya terkenal dengan pendiriannya untuk membuat aksi lagak ngeri sendiri tanpa bantuan profesional.

Ogos lalu, Cruise, 56, patah buku lali kaki kanan selepas tersilap langkah ketika melompat ke bangunan lain sewaktu penggambaran filem Mission Impossible 6.

Sebelum ini Cruise dilaporkan tergantung dari pesawat bergerak laju ketika penggambaran Mission Impossible: Rogue Nation.

Cruise juga pernah belajar berlawan mengunakan pedang untuk filem The Last Samurai dan membuat aksi mengejar dengan menaiki motosikal dalam Knight and Day.

2. Jackie Chan

Bintang popular Hong Kong ini antara pelakon yang kurang gemar membiarkan pakar melakukan aksi lagak ngeri untuknya.

Chan yang mahir seni pertahankan diri dilaporkan banyak kali patah tulang akibat aksi lagak ngeri di set penggambaran.

Beberapa bulan lalu, pengarah filem The Foreigner, Martin Campbell memberitahu pada mulanya melarang pelakon berusia 63 tahun itu daripada membuat sebarang aksi bahaya kerana risau keselamatannya. Bagaimanapun, Campbell terpaksa akur dengan permintaan Chan.

Pada 1999, Chan menghasilkan dokumentari Jackie Chan: My Stunts yang menunjukkan kepada penonton bagaimana membuat aksi lagak ngeri tanpa perlu mengeluarkan banyak kos.

3. Angelina Jolie

Bekas isteri Brad Pitt ini pernah mencederakan mukanya sehingga meninggalkan parut kecil selepas terjatuh di pintu ketika membawa senapang.

Ketika itu, pelakon siri filem Tomb Raider ini melakonkan satu babak untuk filem Salt yang ditayangkan pada 2010.

Menariknya, Angelina dikatakan langsung tidak menggunakan juruaksi bagi semua babak lagak ngeri. Jurulatih pelakon itu mendedahkan, 99 peratus lakonan aksi lagak ngeri sepanjang karier seni Jolie dilakukannya sendiri.

4. Harrison Ford

Pada usia 75 tahun, bintang Star Wars ini masih gagah melakukan aksi lagak ngeri dalam Blade Runner 2049 dan filem terbaru Indiana Jones.

Pelakon itu dikatakan tertumbuk muka pelakon Ryan Gosling ketika melakukan babak pertarungan dalam filem Blade Runner 2049.

Di luar kerja, Ford juga juruterbang helikopter separuh masa dan membantu menyelamatkan banyak nyawa yang terbabit dalam kebakaran serta kejadian lain.

Selain filem Star Wars dan Indiana Jones, antara filem aksi dibintangi Ford adalah The Expendables 3, The Fugitive, Patriot Games dan Clear And Present Danger.

5. Arnold Schwarzenegger

Bekas Gabenor California ini dikatakan sanggup melompat keluar dari kapal terbang, berlawan dengan serigala dan jatuh dari bangunan demi lakonan.

Pelakon berusia 70 tahun ini pernah mengakui badannya sudah tidak seperti ketika dia muda, namun masih mampu melompat, berlari dan membuat aksi lasak lain.

Dia nekad meningkatkan lagi kecergasan badannya dengan melakukan senaman lasak setiap hari demi persiapan wataknya untuk filem Terminator 5.

Malah dia turut membuat persiapan sama untuk babak pertarungan filem Sabotage selain mewarnakan rambutnya yang dipenuhi uban kepada perang.

6. Jason Statham

Pelakon ini hampir meninggal dunia selepas brek sebuah trak bergerak laju gagal berfungsi sewaktu penggambaran filem The Expendables 3. Trak itu kemudian menjunam ke dalam laut namun Statham berjaya menyelamatkan diri.

Sebelum menceburi bidang lakonan, Statham adalah penyelam pasukan kebangsaan British. Oleh kerana dia dikenali melakukan aksi lagak ngeri, Statham berkata, peminat meletakkan jangkaan tinggi terhadapnya untuk memberi persembahan lebih baik.

7. Christian Bale

Pelakon terkenal menerusi wataknya sebagai Batman dilaporkan melakukan sebahagian besar babak lagak ngeri dalam filem lakonannya.

Bagaimanapun, dia tidak dibenarkan berbuat demikian ketika penggambaran filem The Fighter atas arahan syarikat insurans.

Ketika penggambaran filem Dark Knight, Bale tidak gementar berdiri di atas bangunan setinggi 110 tingkat dalam sut Batman.

8. Cameron Diaz

Aktres ini turut mengikut jejak hero filem Knight And Day, Tom Cruise melakukan aksi lagak ngeri sendiri ketika berlakon dalam filem itu.

Antara aksi dilakukannya adalah memandu kereta dalam keadaan bahaya. Dia turut mengalami kecederaan kecil dan beberapa lebam sepanjang beraksi.

Kesungguhan Cameron berjaya membuatkan penonton tertumpu terhadap wataknya selain membuat babak cemas nampak asli.

9. Sylvester Stallone

Mula mencipta nama menerusi filem Rocky, Stallone dilaporkan beberapa kali cedera akibat membuat aksi lasak.

Ketika penggambaran filem pertama The Expendables, bintang berusia 71 tahun ini pernah patah leher ketika bertarung dengan Stone Cold Steve Austin.

Sanggup menahan kesakitan demi filem, Stallone dimasukkan ke wad penjagaan rapi selepas ditumbuk Dolph Lundgren ketika penggambaran filem Rocky IV.

10. Matt Damon

Bintang siri filem Bourne ini dilaporkan sanggup menggadai nyawa membuat aksi bahaya dalam filem mengetengahkan perang, Saving Private Ryan dan Courage Under Fire.

Dalam siri Bourne pula, Damon banyak melakukan aksi memandu dan menyelam. Pelakon itu turut mengambil latihan selama tiga bulan untuk mempelajari teknik kombat, menggunakan senjata api dan bertinju.

Pada masa sama, dia turut mempertingkatkan kecergasan badan sebagai persediaan membawa watak Jason Bourne.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.