Berita Terkini
recent

Belum terfikir pindah ke KL

Meskipun kehadirannya semakin mendapat perhatian pencinta muzik tempatan, penyanyi yang popular dengan lagu Pertama Kali, Shaa masih belum terfikir untuk berpindah ke ibu kota bagi melebarkan kerjaya seninya.

Melihat kembara seni wanita berusia 22 tahun itu, dia antara selebriti muda yang dihujani jemputan nyanyian hampir setiap minggu namun masih memilih tinggal di Kuala Kedah bersama ibunya.

“Buat masa ni, saya belum terfikir untuk tinggal di Kuala Lumpur walaupun ramai yang kata duduk di Kuala Lumpur (KL) lebih memudahkan kerjaya seni.

“Sebenarnya, saya lebih selesa menetap di Kedah bersama keluarga. Biarlah ekonomi stabil baru saya fikirkan soal pindah. Buat masa ini, saya berulang alik ke KL. Kalau ada jemputan, kakak boleh tolong tengokkan mak. Kalau duduk di KL berdua sahaja, nanti siapa pula nak jaga mak,” katanya lagi.

Kata Shaa, dia beruntung kerana mendapat sokongan penuh keluarga.

“Keluarga adalah tulang belakang yang menyokong saya selama ini. Mereka banyak bantu dan beri nasihat kepada saya untuk meneruskan kerjaya. Mereka juga amat memahami komitmen kerja yang tidak menentu masa,” katanya.

Siapa sangka, walaupun Shaa masih ‘hijau’, single Pertama Kali yang dilancarkan pada Februari lalu terus mendapat perhatian sehingga kini.

Shaa atau nama sebenarnya Juzratul Nisha Johari, 22, mengakui terharu dengan penerimaan peminat terhadap single pertama yang memperkenalkan namanya dalam dunia seni hiburan tempatan.

“Alhamdulillah, sehingga ke hari ini permintaan terhadap lagu Pertama Kali masih tinggi. Mereka tidak kisah saya menyanyi berulang kali. Ibaratnya, lagu ini lagu wajib setiap kali persembahan.

“Saya akui kadang-kadang bosan juga kalau menyanyikan lagu sama tetapi bila fikir semula, ini lagu cari makan dan saya bersyukur sebab ia membantu menaikkan nama saya,” katanya.

Pertama Kali sudah mencecah lebih 10 juta tontonan di YouTube dan Shaa berharap lagu terbabit terus ‘menyihir’ pendengar.

Kekal konsep lama

Dalam pada itu, Shaa bakal tampil dengan single kedua berjudul Biarku Pergi, ciptaan Mikeya (Nova Music) yang masih mengekalkan konsep lagu lama.

“Pihak pengurusan saya, Nova Music yang mencadangkan agar konsep dulu dikekalkan. Mungkin corak nyanyian saya sesuai begini selain permintaan yang tinggi.

“Lagu Pertama Kali ciptaan saya sendiri, sementara lagu Biarku Pergi ini ciptaan orang lain, jadi saya ambil masa untuk masukkanya ke dalam jiwa. Namun proses rakaman berjalan lancar dan saya sudah mendapat rentak membawakan lagu ini,” katanya.

Shaa akui dia masih lagi dalam prose belajar, justeru memerlukan banyak masa untuk menjadikan lagu ciptaan orang lain sebagai lagu sendiri.

“Dulu saya ingat senang sahaja jadi penyanyi, dapat lagu terus nyanyi. Tapi bila dapat lagu Biarku Pergi, baru saya tahu rupanya nak menyanyi lagu baru ciptaan orang lain bukanlah perkara mudah.

“Saya mohon masa sebulan untuk menjiwai lagu ini. Apa yang saya lakukan dalam tempoh itu adalah duduk dalam bilik hafal lirik lagu dan melodi. Saya tak mahu ada orang lain. Saya lebih suka bersendirian.

“Pun begitu yang kelakarnya, bila rakam dalam studio, lain yang berlatih lain pula yang keluar. Nasib baik jadi lebih sedap dan semua orang dapat menerimanya,”katanya seraya memaklumkan single terbabit bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Demi memajukan dirinya dalam bidang seni, Shaa merancang menyertai kelas vokal.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.