Berita Terkini
recent

Baca novel berkali-kali


Pasti ramai tidak asing dengan novel Jibam karya kartunis terkenal Ujang atau nama sebenarnya, Ibrahim Anon yang cukup popular pada era 90-an.

Bagi memenuhi cita rasa peminat setia novel itu, cerita Jibam yang juga kanak-kanak istimewa diangkat ke layar perak dan bakal menjengah pawagam seluruh tanah air bermula 7 Disember ini.

Jibam garapan Che Mie menampilkan barisan pelakon hebat seperti Syafie Naswip, Esma Daniel, Fadlan Hazim, Bohari Ibrahim, Mia Ahmad, Farah Ahmad, Zaidi Omar dan Kazar Saisi.


ARIFF jiwai watak Jibam dengan berkesan.
Menariknya, watak Jibam atau Ashraf dilakonkan Mohd Ariff Abdullah yang popular dengan watak Buntat dalam drama 7 Hari Mencintaiku yang mencetuskan fenomena sebelum ini.

Selaku pengarahnya, Che Mie berkata, idea untuk menghasilkan filem Jibam bermula selepas dia membaca novel itu lebih 10 tahun lalu.

“Ketika saya membaca novel Jibam, saya tidak boleh berhenti kerana jalan ceritanya menarik dan ketika itulah terdetik di hati untuk menghasilkan filem ini.


ANTARA babak menarik Tok Ngah Sudin dan Jibam.
“Kemudian saya mendapat panggilan telefon daripada penerbit, Spektra Selasih Sdn Bhd yang berminat menerbitkan filem ini.

“Selepas berfikir selama dua hari, akhirnya saya terima tawaran daripada penerbit untuk mengarahkan filem Jibam ini,” katanya.

Che Mie ditemui pada majlis tayangan perdana filem Jibam yang berlangsung di mmCineplex ECurve, Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Bercerita mengenai perancangan awal filem itu, kata Che Mie, dia dan penerbit bertemu Ujang untuk membincangkan penerbitan filem berkenaan.


SYAFIE tampilkan lakonan mantap sebagai Kadir.
“Ujang juga bersetuju untuk terbabit dalam proses pembikinan filem ini secara langsung sehinggalah ia selesai.

“Penggambaran filem yang membabitkan kos mencecah RM1.3 juta ini berlangsung di Sungai Lembing, Pahang pada Februari 2016.

“Ujang juga mahu pastikan filem itu tidak berbeza daripada naskhah asalnya. Saya juga terpaksa membaca novel ini berkali-kali supaya apa yang digambarkan Ujang dapat divisualkan ke layar perak,” katanya.

Ditanya pemilihan watak utama Jibam pula, kata Che Mie, Mohd Ariff dipilih selepas diperkenalkan rakannya.




MIA turut berlakon dalam filem Jibam.
“Saya juga buat uji bakat selama dua minggu untuk mencari pelakon watak Jibam.

“Namun, selepas bertemu Ariff yang juga kanak-kanak mengalami gangguan pembelajaran atau disleksia pada 2015 saya nampak dia berbakat dalam bidang lakonan.

“Saya juga mencari guru untuk mengajar Ariff teknik lakonan untuk menggilap bakatnya.

“Alhamdulillah, ternyata Ariff mampu menghafal skrip dan menjiwai watak Jibam dengan baik seperti dikehendaki skripnya,” katanya.

Mengenai harapannya pada filem itu, Che Mie berkata, dia sudah buat yang terbaik mengikut kemampuannya.

“Saya sangat berharap filem ini menghiburkan dan berjaya memuaskan hati peminat,” katanya.


FADLAN pegang watak sebagai Fakir.
Sinopsis

Jibam mengisahkan kanak-kanak istimewa iaitu Ashraf atau Jibam yang unik . Meskipun lembam, Jibam memiliki keistimewaan yang tersembunyi.

Dia mewarisi kepandaian bapanya, Suman untuk mengubati penyakit. Suman terbunuh dalam hutan dan insiden itu sungguh misteri.

Selain itu, turut diketengahkan watak Tok Ngah Sudin yang akan menimbulkan kebencian dan kemarahan penonton kerana layanan buruknya terhadap Jibam.

Pada masa sama, Jibam dibenci Usin Singai dan kemuncaknya apabila basikal tuanya dicat warna biru oleh Jibam. Hinggakan ayam dalam rebannya pun biru dikerjakan Jibam.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.