Berita Terkini
recent

Angela Zhang tunai hasrat peminat

PENYANYI dan pelakon terkenal Taiwan, Angela Zhang, menunaikan hasrat peminat  di Malaysia untuk bertemu dan melihat persembahannya secara dekat.

Hujan lebat di perkarangan tidak sedikit pun menghalang peminat menyaksikan konsert REMIX 100% Angela Zhang World Tour 2017 di Malaysia, 18 November lalu.

Lebih istimewa, Angela turut menyampaikan seleksi 30 lagu sepanjang konsert berlangsung.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Regional) IMC Group, Adrian Leong, pihaknya berusaha memastikan peminat yang membeli tiket membawa pulang kenangan yang cukup manis sepanjang menyaksikan persembahan bintang berusia 35 tahun ini.

"Bagi kami, beliau tampil dengan pakej seorang diva yang berbakat besar, bekerja keras, tabah dan amat menyayangi peminatnya.

"Malah kami juga melihat dia bercerita mengenai kehidupannya menerusi lagu-lagu yang disampaikannya," jelasnya.

Selain Malaysia, Angela dijadualkan mengadakan konsert di Singapura, China, Australia dan Amerika Syarikat.

Menerusi konsert itu, penyanyi ini memulakan persembahan dengan salah satu lagu hitsnya, Invisible Wings.

Dia muncul di pentas dengan kostum dewa bersama sayap berkilau dan memukau peminat yang hadir. Ternyata, lagu pertama itu sahaja sudah cukup mengunci perhatian peminat terhadap persembahannya.

Bukan itu sahaja, melalui sesi interaksi bersama peminat, Angela mendedahkan dia mengambil bahagian dalam setiap aspek persembahan, dari bahagian produksi, sehingga langkah tarian di atas pentas, semuanya demi peminat yang hadir.

Bahkan, dia juga melalui sesi latihan yang panjang demi memastikan kesempurnaan dalam persembahan dan secara tidak langsung memberi peluang peminat menghayati setiap lagu dengan lebih mendalam.


Angela meneruskan persembahan dengan seleksi lagu popular seperti First Page, Don’t Wanna Hear, Aurora, Bandage danThat Girl yang disampaikan secara remix bersama DJ Wordy.

Tidak hanya membuktikan kemampuan vokal, Angela juga lincah menari bersama penari iringan. Kemudian ketika menyampaikan lagu Faith, Angela sempat mendedikasikan lagu tersebut kepada peminat yang menjadi nadi dalam kariernya.

Malah dia menyifatkan peminatnya telah memberi inspirasi positif sehingga dia menjadi idola mereka.

Suasana sebak itu tidak berterusan apabila Angela meneruskan persembahan bak rollercoaster dengan emosi yang bercampur baur.

Sempat menyampaikan ucapan terima kasih kepada peminat, kru yang terlibat untuk konsertnya kali ini, Angela turut mengajak peminat menyertai konsertnya yang dijangka berlangsung di Xi’an, Dalian, Guiyang, Suzhou, Kunming, Xiamen dan Shenzhen.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.