Berita Terkini
recent

Akses tonton dalam pesawat

Satu persatu lembaran baru dibuka saluran tonton. Terbaru, platform dalam talian (over-the-top) nombor satu negara ini memilih bekerjasama dengan ROKKI iaitu penyedia perkhidmatan WiFi penerbangan AirAsia bagi memberi peluang kepada penumpang mengakses tonton dalam pesawat.

Peristiwa bersejarah ini terlakar menerusi penerbangan AirAsia dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sabah pada jam 11 pagi, 7 November lalu.

Langkah bijak ini membolehkan penumpang menghabiskan masa selama lebih dua jam dalam pesawat dengan menonton seleksi rancangan pilihan menarik antaranya rangkaian filem popular, drama, gaya hidup, program dokumentari dan kanak-kanak.

Pengalaman menonton secara dalam talian dari 10,000 kaki di udara pada tarikh ini bertambah menarik kerana penumpang turut ditemani wajah tonton iaitu Ayda Jebat, Redza Rosli, Baki Zainal dan hos rancangan gaya hidup Let’s Cycle di 8TV, Rickman Chia.

Turut serta ialah Pengurus Besar tonton Ben Jern Loh dan Ketua Kumpulan Ancillary AirAsia Choudhury Hassan Peter.

Satu sidang media turut berlangsung di lobi Tune Hotel, Kota Kinabalu bagi menceritakan secara terperinci mengenai kerjasama berkenaan.

Selain Ben, Choudhury Hassan dan empat personaliti ini, maskot Ejen Ali (yang boleh ditonton di ROKKI), rancangan kegemaran kanak-kanak sepanjang tahun turut tampil memeriahkan acara.


BEN (tiga dari kiri), Choudhury Hassan (lima dari kiri) bersama Redza, Ayda, Rickman (dua dari kanan) dan Baki (kanan) serta maskot Ejen Ali.
Ben berkata, kerjasama itu memberi pengalaman penstriman unik dan luar biasa kepada peminat tonton serta penumpang syarikat penerbangan tambang murah itu.

“Tonton teruja dapat bekerjasama dengan ROKKI AirAsia dalam merealisasikan pengalaman tonton di dalam penerbangan.

“Melalui kerjasama ini, penumpang boleh mengakses rancangan kegemaran masing-masing di udara secara langsung di peranti mudah alih ROKKI,” katanya.

Choudhury Hassan pula berkata, pihaknya teruja dengan pembaharuan yang dilakukan ROKKI sekali gus membolehkan penumpang menikmati akses percuma hiburan ROKKI dan platform e-dagang.

“AirAsia sentiasa mengutamakan kemudahan dan keselesaan penumpang dengan tawaran pengalaman penerbangan digital yang hebat. Kami mahu memastikan pelanggan merasai pengalaman penerbangan berbeza.

“Kemudahan ini disediakan untuk 50 pesawat AirAsia dan dengan pelan ROKKI dari serendah RM18, penumpang dapat menikmati pelbagai hiburan yang ditawarkan,” katanya.

Bagi Ayda, kerjasama tonton dan ROKKI dapat memberikan pelbagai pilihan kepada penumpang AirAsia.


BERSAMA penari kebudayaan di Mari-Mari Cultural Village.
“Saya rasa semua penumpang termasuk perempuan akan suka jika ada WiFi dalam pesawat kerana dapat mengikuti pelbagai perkara.

“Ini peluang terbaik untuk kita menggunakan masa dengan baik dan bukan hanya tidur semata-mata,” katanya.

Menurutnya, penumpang boleh menonton filem yang disukai dan berdasarkan pengalamannya, ROKKI mudah diakses.

“Saya diberikan kad ‘reload’ data plan untuk mendapatkan akses Internet dan ia satu perkara yang logik. Tonton menyajikan banyak program menarik dan menghiburkan.

“Selalunya orang hanya ingat ada drama. Sebenarnya kita juga boleh menonton filem lama dan macam-macam lagi,” katanya.

Ayda mengakui sebagai selebriti, kadangkala mereka tidak berkesempatan menonton program di kaca TV.

“Selalunya dalam pesawat saya akan tidur. Namun dengan adanya tonton dalam pesawat, saya dapat melihat semula lakonan saya dalam drama yang ditayangkan bagi mengetahui apa kelemahan dan memperbaikinya.

“Sebagai wajah tonton, saya bertanggungjawab menarik peminat agar melanggan saluran ini dengan muncul dalam pelbagai acara termsulah Jom Heboh.


BERKESEMPATAN melawat Mari-Mari Cultural Village.
“Mungkin sebagai penyanyi juga, saya boleh mencadangkan kepada tonton untuk menghasilkan lagu khas buat peminat,” katanya yang akan tampil dengan drama Dekatkan Jarak Kita di TV3 pada 21 November ini.

Redza pula menyifatkan kewujudan tonton dalam pesawat AirAsia sesuatu yang sudah lama diimpikan.

“Sebelum ini memang saya mencari bahan hiburan untuk dinikmati dalam pesawat. Untuk penerbangan ini, saya berpeluang menonton filem Anak Halal yang belum pernah ditonton,” katanya.

Kesempatan berada di Kota Kinabalu turut dipergunakan oleh pengurusan tonton dengan membawa selebriti ini melawat tempat menarik antaranya Mari-Mari Cultural Village.

Mereka juga membuat kejutan buat peminat apabila berkunjung ke Pasar Filipina yang terkenal dalam kalangan pelancong.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.