Ajak zahir rasa simpati

Keganasan dan kematian yang menjerut kehidupan etnik Rohingya pasti menyentuh hati sesiapa jua yang mendengar serta melihatnya apabila mereka tidak pernah tenang baik siang mahupun malam.

Ia juga turut meninggalkan kesan pada pelakon Zarina Mohd Nor atau lebih dikenali sebagai Zarina Raja Lawak yang melihat kehidupan etnik itu tidak lagi mengecapi kebahagiaan apatah lagi untuk melalui kehidupan serba sempurna.

Oleh itu, ruang yang diberikan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) untuk bersama-sama mengumpul dana bertujuan memberikan sedikit sinar kepada etnik itu tidak dilepaskan Zarina.

Menurut Zarina yang mewakili Persatuan Seniman Malaysia, dia berharap lebih ramai artis akan bersama-sama turun padang bagi menzahirkan rasa simpati mereka kepada Rohingya.

“Betapa sedihnya mereka tiada negara dan rumah yang dulu menghimpunkan segala kebahagiaan di dalamnya dimusnahkan junta Myanmar.

“Kebanyakan artis sekarang sudah ada yayasan kebajikan mereka sendiri maka elok kita semua bersatu bagi membantu mereka yang amat memerlukan kerana semua orang berhak mendapat kehidupan sempurna,” katanya.

Setakat ini, kata Zarina, pelakon Putera Amaris yang serius menyertai misi bantuan Rohingya anjuran MAPIM. Pertubuhan itu juga dalam perancangan membawa artis ke Kem Pelarian Cox Bazar, Bangladesh yang berada dalam keadaan kritikal bagi menyaksikan sendiri penderitaan mereka.

Konsert kumpul dana

Pada 1 Disember ini, jam 8 malam, akan diadakan Konsert Malam Solidariti Kemanusiaan bertempat di Dataran Astaka, Taman Tasik Titiwangsa Kuala Lumpur. Antara aktiviti malam itu ialah solat hajat, penyerahan watikah keamanan jelajah bikers dan konsert kemanusiaan.

Sebelum itu, Presiden MAPIM Cikgu Mohd Azmi ‘melepaskan’ Kembara Watikah Keamanan dan Kasih Sayang pada 26 November lalu di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam diketuai Ustaz Hanafiah Abdul Malek yang menjelajah ke beberapa negeri untuk menyatakan pendirian rakyat Malaysia.

Warga Rohingya yang berada di kem Cox Bazar sudah mencecah 700,000 orang. Pelarian yang melarikan diri dari Arakan, Myanmar setiap hari berjumlah 2,000 orang.

Jumlah etnik Rohingya yang masih bertahan di Arakan daripada empat juta penduduk kini tinggal 300,000 orang, kes rogol dan bunuh masih berlaku apabila setiap hari junta Myanmar akan mengejar serta membunuh rakyat Rohingya yang mereka jumpa.

“Ketika ini bantuan kewangan kemanusiaan yang disalurkan di kem pelarian Cox Bazar masih tidak dapat menampung jumlah di sana dan amat dikhuatiri musim sejuk yang bakal tiba dengan salji dari Pergunungan Everest sudah boleh dirasai angin sejuknya di kawasan kem itu.

“Sebanyak 60 peratus pelarian di Cox Bazar adalah kanak-kanak dan bayi, 30 peratus lagi ibu yang menyusukan bayi,” katanya.

Oleh itu, kata Zarina, orang ramai diminta memberi sokongan pada konsert solidariti itu sambil menyumbang.

“Masuk percuma dan ini adalah misi kemanusiaan paling besar yang akan kita tempuh,” katanya.
Ajak zahir rasa simpati Ajak zahir rasa simpati  Reviewed by Kakigosip on 06:01:00 Rating: 5
Powered by Blogger.