Berita Terkini
recent

Ajak Shiro 'cabar' pengarah, penerbit

PELAWAK dan juga penyampai radio, Ajak Shiro meluahkan hasrat untuk menjayakan watak yang lebih serius,lain daripada yang lain.

Ujar Ajak atau nama sebenarnya Mohamad Hanaffi Razak, biarpun kerjayanya bermula sebagai pelawak, namun, dia mengimpikan untuk menjadi lebih versatil dalam karier.

"Saya percaya, pengarah dan penerbit takut nak beri kepercayaan kepada pelawak macam saya untuk membawakan watak yang lebih serius.

"Tapi jauh di sudut hati, saya teringin nak bawa watak serius, contohnya seperti penembak hendap atau pembunuh upahan. Kalau dialog sikit pun tak apa.

"Bagi saya sesekali apa salahnya penerbit atau pengarah cuba. Jangan lagi beri watak komedi kepada pelawak. Kita cuba yang lain pula," katanya ketika ditemui pada malam gala filem Rempit Sampai Langit di MM Cineplex, Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Bercakap mengenai filem arahan Silver terbitan Suhan Movies itu, Ajak berkata, dia memegang watak Kudin, seorang lelaki yang agak malang dalam hidup dan percintaan, namun segalanya berubah selepas dia bertemu seorang saintis dari Arab.

"Penggambaran filem ini dijalankan kira-kira dua tahun lepas dan sebagai orang yang agak baru dalam industri, saya rasa sangat berbesar hati dapat bergandingan dengan Nabila Huda yang memegang watak Comel.

"Jalan cerita ini walaupun komedi, tapi banyak mesej penting sebagai panduan. Saya harap penonton akan beramai-ramai datang ke pawagam menonton filem ini," ujarnya.


Selain Ajak dan Nabila, filem ini turut dibintangi Tauke Jambu, Reen Rahim, Jay Iswazir dan ramai lagi.

Dalam perkembangan lain, Ajak berkata, dia akan menunaikan umrah bersama keluarganya bermula 14 Disember depan.

Bukan itu sahaja, dia juga sibuk dengan program Petronas Cup Prix dan akan menyertai program Bintang Bersama Bintang yang dijangka bermula tahun depan.

"Disebabkan saya akan menunaikan umrah, jadi saya terpaksa tolak satu projek drama 15 episod dengan Astro.

"Tapi saya tak rasa ralat. Saya percaya itu bukan rezeki saya," katanya tenang.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.