Berita Terkini
recent

Ajai, Syamel masing-masing dua lagu

Pentas minggu terakhir separuh akhir Muzik Muzik 32 menyaksikan komposer terkenal Ajai dan penyanyi serta komposer muda Syamel bakal berentap menerusi dua lagu ciptaan masing-masing pada Anugerah Juara Lagu (AJL32), Februari depan.

Dua lagu ciptaan Ajai adalah Separuh Matiku Bercinta dendangan Dayang Nurfaizah dan Akhiri Cinta nyanyian Salma serta liriknya oleh Slen.

Selain itu, lagu ciptaan Syamel pula ialah Lebih Sempurna dan lagu secara duet, Aku Cinta bersama penyanyi Ernie Zakri.

Syamel ketika ditemui, bersyukur kerana dua lagu ciptaannya itu mara ke pentas AJL32 sekali gus mengubati kekecewaannya tahun lalu.

“Alhamdulillah, saya sudah buat yang terbaik dan ternyata rezeki untuk mara dengan dua lagu sekali gus pada tahun ini.

“Sebenarnya, saya fokus pada persembahan untuk dua lagu ini walaupun ada pihak yang mendakwa tidak mungkin dua lagu ciptaan saya boleh tercalon sekali gus,” katanya.

Syamel berkata, dia juga puas hati dengan persembahan Ernie ketika berduet dengannya menerusi lagu Aku Cinta itu.

“Saya percaya Ernie juga sudah buat yang terbaik pada malam separuh akhir ini. Saya juga cipta lagu Aku Cinta ini memang untuk vokal Ernie dan kami sudah menyampaikan lagu ini bersama selama setahun.

“Insya-Allah, saya akan memberikan yang lebih baik lagi pada lagu Lebih Sempurna dan duet dengan Ernie pada final AJL32 nanti,” katanya.

Ditanya persaingan dengan Ajai pula, kata Syamel, dia mengakui komposer itu antara idolanya untuk bekerjasama sejak dulu.

“Sebenarnya, Ajai antara komposer yang saya ingin bekerjasama sebelum memasuki program Akademi Fantasia.

“Walaupun minat buat lagu, saya juga impi untuk bekerja dengan komposer hebat seperti Datuk M Nasir dan Ad Samad,” katanya.

Ajai berkata, dia melihat kemunculan ramai komposer baru mendominasi AJL32 adalah persaingan yang sihat dalam bidang muzik tanah air.

“Muzik bagaikan bidang fesyen dan kita juga perlu akur dengan apa yang dimahukan peminat sekarang.

“Kemunculan komposer baru adalah sesuatu yang bagus kerana mereka barisan pelapis untuk industri muzik terus berkembang pesat,” katanya.

Menurut Ajai, muzik juga adalah satu perkongsian tidak kira komposer baru atau lama.

“Sebagai komposer, saya sentiasa mengikuti apa yang dimahukan peminat sebab itu setiap tahun lagu ciptaan saya akan mara ke final AJL,” katanya.

Lagu ciptaan Ajai dan Syamel antara 12 lagu yang mara ke pentas berprestij AJL32 .

Lagu lain yang turut bertanding ialah Sejati (Faizal Tahir/Mike Chan/Azmi Caliph Busker), Menahan Rindu (Ibnu & Gouffran/Wany Hasrita), Tergantung Sepi (Gouffran/Ibnu/Haqiem Rusli) dan Warkah Untukmu (Hang Nadim/Laq/Ara Johari).

Tidak ketinggalan, lagu Bayang (Alam Harry Khalifah/Patrick Anahonda/Khai Bahar), Jampi (Hael Husaini/Ezra Kong), Aku Yang Sebenar (M Nasir/Ad Samad/Hazama & The Penglipurlara) dan Amboi (Navigator/Altimet).

Keputusan itu diumumkan gandingan pengacara Sherry Al Hadad dan Hefny Sahad pada pentas minggu terakhir separuh akhir Muzik Muzik 32 di Sri Pentas 2, Shah Alam, malam kemarin.

Barisan juri puas hati

Barisan juri profesional berpuas hati dengan mutu 12 lagu yang mara ke final AJL32 pada Februari depan.

Ketua juri, Datuk Mokhzani Ismail, berkata, beliau melihat kemunculan ramai komposer dan penyanyi baru sesuatu yang bagus untuk perkembangan industri muzik tanah air.

“Saya akui agak sukar untuk memilih 12 daripada 30 lagu yang bertanding untuk ke final AJL32 kerana setiap lagu ada pengikut tersendiri.

“Pada masa sama, saya juga melihat trend lagu yang bertanding juga kembali pada era 1990-an.

“Secara keseluruhan, saya dan barisan juri profesional juga berpuas hati dengan kualiti 12 lagu yang terpilih ke AJL32. Pemilihan kami tidak dipengaruhi mana-mana pihak kerana selaku juri kami berhak menentukan lagu terbaik untuk ke final,” katanya.

Selain Mokhzani, barisan juri profesional terdiri daripada komposer, penerbit album dan pemuzik seperti AG Coco, Azmeer, Edrie Hashim, Helen Yap, LY dan Pak Ngah.

Terdahulu, 30 lagu bersaing di peringkat Muzik-Muzik di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, pada 29 Oktober, 5 dan 11 November lalu.

Tidak lengkap pentas Muzik Muzik tanpa dihangatkan dengan persembahan mantap artis jemputan iaitu kumpulan 6ixth Sense dengan lagu Tanpa & Khatimah Cinta, Bunkface dan Tam Spider (Relaku Pujuk, Situasi, Aladdin, Revolusi).
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.