Berita Terkini
recent

Air Mata Amaris Menitis

PELAKON Amaris memberitahu hati lelakinya tersentuh melihat kesengsaraan anak-anak Rohingya yang hidup tanpa pembelaan.

Amaris, 32, berkata dia tidak mampu menahan air mata melihat kedaifan anak-anak kecil ini ketika berkunjung ke sebuah pusat pelindungan di Gombak, Selangor, baru-baru ini.

"Saya berkesempatan mengunjungi mereka dan melihat sendiri kedaifan yang mereka hadapi.

"Ya Allah, menitis air mata saya, bayangkan mereka ini masih kecil dan tak tahu apa-apa namun terpaksa melalui kehidupan yang sukar.

"Mereka hidup serba kekurangan dan tidak sempurna seperti kanak-kanak lain. Tak malu untuk saya mengaku, air mata saya mengalir kerana berasa sedih dengan ujian yang mereka lalui," katanya.

Amaris ditemui di pelancaran Kembara Watikah - Kebangkitan Dan Pembebasan Rohingya (KW-KPR) serta Tabung Rohingya Satu Rakyat Satu Ringgit di Dewan Tanjung, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada Selasa lalu.

Dalam majlis tersebut, penganjur World Day Of Anger bakal menganjurkan jelajah motosikal berkuasa tinggi mengelilingi Malaysia bagi mengumpul dana dan sumbangan untuk rakyat Rohingya di Wilayah Rakhine, Myanmar.

Sementara itu, Amaris atau nama sebenarnya Amran Ismail turut menyeru orang ramai menghulurkan sumbangan kepada masyarakat Rohingya yang tertindas akibat pergolakan etnik di wilayah tersebut.
"Saya mengikuti program ini kerana berasakan kita sepatutnya ada kesedaran untuk membantu saudara kita yang tertindas.

"Sebagai selebriti, inilah tugas kita untuk menyedarkan masyarakat dan mendorong mereka menyumbang walaupun sedikit.

"Kalau seorang derma RM1 sahaja, bayangkan kalau sejuta orang melakukan benda yang sama, sumbangan terkumpul itu sudah cukup untuk kita salurkan kepada mereka," ujarnya.
Dalam pada itu, Amaris tidak menolak untuk turut serta dalam sebarang promosi dan jelajah berkaitan program ini.

Baginya, pembabitan dalam program ini hanyalah sedikit bantuan kecil yang boleh dilakukan sebagai anak seni dan berharap ia tidak terhenti setakat ini.

Untuk pembaca kakigosip yang berminat mengetahui mengenai program jelajah ini dan mahu menghulurkan sumbangan boleh layari Facebook World Day Of Anger.

Program KW-KPR ini dilakukan dengan kerjasama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Kelab Putra 1 Malaysia, Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia, Majlis Community Care Foundation dan Persatuan Seniman Malaysia.


Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.