Berita Terkini
recent

Aiman Tino kembangkan perniagaan

WALAUPUN sentiasa mendapat kritikan namun penyanyi muda Aiman Tino tidak menganggap perkara tersebut sebagai kekalahan pada dirinya sebaliknya dia terus mencipta kejayaan demi kejayaan.

Terbaru, Aiman melakar sejarah dalam perniagaan apabila muncul dengan memasarkan uniform sekolah.

Produk di bawah jenama Sweet Aiman Junior itu adalah kerjasama strategik antara Sweet Aiman dan syarikat kosmetik, Wonder Glow Cosmetics Sdn Bhd (Wonder Glow).


Sebelum ini, Aiman yang mula mencipta nama menerusi lagu Ku Rela Dibenci mengeluarkan tiga produk kesihatan dan kecantikan daripada Aiman Tino iaitu 3D Cream DD mineral Cushion, Candy Cherry Brite dan Cherry Brite HD pada Mac lalu.


Penyanyi berusia 19 tahun itu turut memperkenalkan kurta, Qurta by Sweet Aiman Fashion Ramadan lalu.

Jelas penyanyi ini, dia menyahut cabaran Wonder Glow itu mengambil langkah berani mempelbagaikan bidang perniagaan kerana mahu merealisasikan impiannya menjadi usahawan muda berjaya.

“Langkah Aiman mempelbagaikan bidang ini sebagai usahawan muda, Aiman perlu lebih berdaya saing dalam meningkatkan keupayaan serta pendapatan.

“Bidang keusahawanan sangat luas  untuk diterokai dan mampu menjanjikan pulangan lumayan.

“Aiman juga perlu meneroka bidang keusahawanan baru, kaedah pembungkusan produk, perkhidmatan terkini, strategi pemasaran dan pasaran baru termasuk menggunakan media sosial,” kata anak keempat daripada 10 beradik itu.

Lebih menarik apabila majlis pelancaran Sweet Aiman Junior itu  dilakukan Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk P Kamalanathan di Sekolah Menengah Kebangsaan Ampang Pecah yang juga bekas sekolah penyanyi itu.

Turut hadir, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Wira Ameer Ali Mydin dan Ketua Pegawai Eksekutif, Wonder Glow, Datuk Mohd Izal Jamaludin.

“Sudah tentu hari ini paling istimewa dalam hidup Aiman sebab dapat melancarkan produk uniform sekolah di bekas sekolah Aiman,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Izal memberitahu, produk uniform yang merangkumi baju, seluar dan baju kurung sudah berada di lapan pasar raya Mydin sejak 14 November lalu.   



Jelas beliau, untuk pengeluaran pertama sebanyak 16,000 uniform dikeluarkan membabitkan 2,000 helai bagi setiap pasaraya berkenaan.

“Saya yakin jumlah itu akan habis terjual kerana Sweet Aiman Junior mengikut harga pasaran malah lebih murah berbanding produk uniform sekolah lain.

“Tujuan Wonder Glow bekerjasama dalam perniagaan uniform sekolah kerana ingin membantu ibu bapa membeli pakaian seragam ini pada harga mampu milik terutamanya bagi mereka yang memiliki anak ramai.

“Apatah lagi, bahang penggal baru persekolahan yang akan dibuka tahun depan semakin terasa apabila ramai ibu bapa kini sibuk membuat persiapan membeli kelengkapan sekolah untuk anak-anak mereka bermula Disember depan,” katanya.

Uniform Sweet Aiman Junior dijual pada harga serendah RM21.

Sempena pengenalan produk itu, Aiman juga akan mengadakan jelajah mempromosi Sweet Aiman di lapan Mydin terpilih seluruh negara dan peminat-peminat berpeluang berjumpa dan beramah mesra bersama Aiman dan mendapatkan produknya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.