Berita Terkini
recent

Aiman Tino keluarkan uniform sekolah jenama sendiri

PENYANYI muda, Aiman Tino mencipta sejarah apabila muncul sebagai artis pertama mengeluarkan produk baju uniform sekolah.

Produk di bawah jenama Sweet Aiman Junior itu merupakan kerjasama strategik antara Sweet Aiman dan syarikat kosmetik, Wonder Glow Cosmetics Sdn Bhd (Wonder Glow).

Sebelum ini, Aiman yang mencipta nama menerusi lagu Ku Rela Dibenci mengeluarkan tiga produk kesihatan dan kecantikan iaitu 3D Cream DD mineral Cushion, Candy Cherry Brite dan Cherry Brite HD, Mac lalu.

Penyanyi berusia 19 tahun itu turut memperkenalkan kurta di bawah jenama Qurta by Sweet Aiman Fashion, Ramadan lalu.


Aiman berkata, beliau menyahut cabaran Wonder Glow dan mengambil langkah berani untuk mempelbagaikan bidang perniagaan kerana mahu merealisasikan impiannya menjadi usahawan muda berjaya.

“Langkah Aiman mempelbagaikan bidang agar sebagai usahawan muda, Aiman perlu lebih berdaya saing dalam meningkatkan keupayaan serta pendapatan.

“Bidang keusahawanan merupakan bidang yang luas untuk diterokai dan mampu menjanjikan pulangan yang lumayan.

“Aiman juga perlu meneroka bidang keusahawanan baharu, kaedah pembungkusan produk, perkhidmatan terkini, strategi pemasaran dan pasaran baru termasuk menggunakan media sosial,” kata anak keempat daripada 10 beradik itu.

Sweet Aiman Junior dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk P Kamalanathan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Wira Ameer Ali Mydin dan Ketua Pegawai Eksekutif, Wonder Glow, Datuk Mohd Izal Jamaludin.

Aiman berkata, beliau memilih SMK Ampang Pecah sebagai lokasi pelancaran Sweet Aiman Junior kerana ia merupakan bekas sekolahnya.

“Sudah tentu Aiman berasakan hari ini adalah paling istimewa dalam hidup kerana dapat melancarkan produk uniform sekolah di bekas sekolah Aiman,” katanya.

Sementara itu, Mohd Izal berkata, produk uniform yang merangkumi baju, seluar dan baju kurung sudah itu dijual di lapan cawangan Pasaraya Mydin sejak 14 November lalu.

Katanya, untuk pengeluaran pertama, 16,000 helai uniform dikeluarkan dengan 2,000 helai diperuntukkan bagi setiap cawangan itu.

“Saya yakin jumlah itu akan habis terjual kerana harga Sweet Aiman Junior adalah mengikut harga pasaran malah lebih murah berbanding produk uniform sekolah lain.

“Tujuan Wonder Glow bekerjasama dalam bisnes uniform sekolah pula kami ingin membantu golongan ibu bapa membeli uniform sekolah pada harga mampu milik, terutamanya bagi mereka yang memiliki anak ramai.

“Apatah lagi, bahang penggal baharu persekolahan yang akan dibuka pada tahun depan semakin terasa apabila ramai dalam kalangan ibu bapa kini sibuk membuat persiapan membeli kelengkapan sekolah untuk anak-anak mereka, bermula Disember depan,” katanya.

Produk uniform Sweet Aiman Junior dijual pada harga serendah RM21.

Sempena pengenalan produk baharunya itu, Aiman akan mengadakan jelajah mempromosi Sweet Aiman di lapan cawangan Mydin terpilih dan peminat-peminat berpeluang berjumpa serta beramah mesra dengannya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.