Berita Terkini
recent

Abang Long Fadil 3 bertaraf Hollywood

PENERBIT filem dan juga pengasas Skop Production Sdn Bhd, Datuk Yusof Haslam mengesahkan sekuel filem Abang Long Fadil (ALF) akan diteruskan dengan mengekalkan pelakon utamanya Zizan Razak.

Menurutnya, susulan kejayaan filem arahan anaknya, Syafiq iaitu Abang Long Fadil 2 (ALF2) mengutip RM18.1 juta selepas ditayangkan lebih 100 pawagam di seluruh negara bermula 24 Ogos lalu membuatkan pihaknya merancang meneruskan sekuelnya, ALF3.

"ALF3 dijangkakan membabitkan kos sebanyak RM4 juta itu adalah hadiah kepada peminat yang sentiasa memberi sokongan terhadap industri filem melayu tanah air.

"Penggambarannya dijangka akan diadakan selepas Aidilfitri tahun depan iaitu selepas tayangan filem ketujuh arahan Syafiq iaitu KL Special Force yang akan ditayangkan pada Mac tahun depan," katanya.

Yusof ditemui pada majlis meraikan kejayaan Lotus Five Star Cinemas (LFS) Kuala Terengganu, hari ini, yang menjadi pawagam memperolehi kutipan tertinggi dan jumlah penonton terbesar seluruh Malaysia untuk filem ALF2 terbitan Skop Production itu dengan jumlah kutipan lebih RM700,000.

"ALF3 akan membabitkan kos lebih tinggi berbanding sebelumnya kerana filem itu juga bakal menampilkan lebih ramai bintang dan nama besar dalam industri.

"Filem itu nanti bakal mengambil masa penggambaran yang panjang bagi menghasilkan filem aksi yang lebih berkualiti setaraf dengan filem Hollywood.

"Dengan mengekalkan pelakon utama selain barisan pelakon baru dan lama serta kecanggihan teknologi yang diserapkan dalam filem itu, saya yakin ia mampu mencatat kutipan lebih daripada apa diperolehi menerusi ALF2," katanya.

Mengenai kutipan ALF2, Yusof berkata, kejayaan filem keenam arahan Syafiq itu menyingkir kedudukan filem Polis Evo terbitan Astro Shaw yang mencatatkan kutipan terbanyak sebelum ini iaitu RM17.74 juta.

Katanya, filem arahan seorang lagi anaknya Syamsul iaitu Munafik yang juga terbitan Skop Production di tempat ketiga dengan kutipan RM17.042 juta.

"Walaupun berdepan masalah rakaman secara haram ketika awal tayangan, saya bersyukur kerana ia tidak memberi kesan besar kepada tayangan ALF2.

"Saya juga melihat kejayaan LFS Kuala Terengganu mencatat kutipan tinggi atas faktor sokongan peminat yang bukan sahaja datang dari negeri ini malah dari Kelantan," katanya.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.