Berita Terkini
recent

3 pencalonan HBO Asia

HBO Asia menerima tiga pencalonan Anugerah Televisyen Asia 2017 bagi siri televisyen The Teenage Psychic dan musim kedua Halfworlds.

The Teenage Psychic adalah siri televisyen bahasa Mandarin pertama terbitan produksi itu mendapat dua pencalonan bagi kategori Pembantu Pelakon Lelaki Terbaik menerusi Chen Mu Yi dan Sinematografi Terbaik.

Selain itu, musim kedua Halfworlds turut dicalonkan untuk kategori Sinematografi Terbaik.

Bagi pembaca yang belum menyaksikan The Teenage Psychic, siri enam episod itu mengisahkan gadis bernama Xie Ya Zhen berhasrat menjalani kehidupan sebagai remaja biasa.

Namun, gadis berusia 16 tahun ini memiliki bakat luar biasa yang mana dia boleh melihat makhluk halus sejak kecil.

Pada sebelah malam, dia bertugas di sebuah kuil bagi membantu penganut yang datang.

Dia turut berdepan pelbagai cabaran antaranya bertemu cinta pertama, tekanan daripada rakan-rakan dan pelajaran sambil ‘melayan’ kerenah makhluk halus.


BARISAN pelakon The Teenage Psychic yang menang anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.
Siri selama sejam itu berjaya menerima respons memberangsangkan sejak ditayangkan April lalu.

Penggambaran The Teenage Psychic dilakukan di Taiwan di bawah arahan karyawan muda Taiwan Chen Ho Yu.

Baru-baru ini, siri itu memenangi Siri Mini Terbaik serta Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dalam Siri Mini atau Telefilem (Lee Chien Na) di Anugerah Golden Bell ke-52.

Sementara itu, musim kedua Halfworlds kembali Januari lalu dengan memaparkan kisah alam syaitan di lorong gelap sekitar Jakarta dan Bangkok.

Dalam musim arahan karyawan terkenal Thailand, Ekachai Uekrongtham ini, penyelidik bernama Juliet terus merungkai dunia makhluk Peesaj yang sudah lama hidup dalam kalangan manusia.

Siri ini mengabungkan pelakon Indonesia, Thailand, Filipina dan Taiwan. Antara barisan pelakon adalah Peem Jaiyen, Tia Tavee, Emma Emika, Myra, Molloy, Arifin Putra, Reza Rahadian dan Teres Daley.

Siri lapan episod itu membawa pulang lima trofi di Anugerah Apollo 2017 bagi kategori Sinematografi, Arah Seni Terbaik, Suntingan Terbaik, Rekaan Bunyi Terbaik dan Susunan Muzik Terbaik.


ANTARA babak menarik dalam Halfworlds.
Tahun ini, HBO Asia turut menayangkan dua lagi karya asli dari rantau ini iaitu komedi Sent pada September lalu diikuti dokumentari The Talwars: Behind Closed Doors mulai 26 November ini.

Anugerah Televisyen Asia 2017 yang memasuki edisi ke-22 penganjuran bakal berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Suntec, Singapura pada 1 Disember ini.

Siri televisyen The Teenage Psychic dan musim kedua Halfworlds boleh disaksikan di HBO On Demand menerusi aplikasi Astro Go.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.