Berita Terkini
recent

Zehra Zambri Pilih Bercinta Selepas Nikah

Enggan peristiwa lama berulang, Zehra Zambri memilih untuk terus bernikah dengan pilihan hatinya, Wan Muhammad Nurhariz Hariri Datuk Wan Mohd Effendi.

Malah, bekas peserta Ikon Siarawan 2016 ini juga lebih selesa tidak bertunang sebaliknya hanya melalui proses merisik pada 8 April lalu.

Mengulas lanjut, wanita berusia 30 tahun ini mengakui perkenalan dengan suaminya, berlaku sejak awal tahun ini.

“Saya dan suami mula berkenalan sejak awal Februari ini.

“Kami dijodohkan melalui kawan baik masing-masing. Alhamdulillah, saya terima jodoh ini sebagai aturan ALLAH SWT,” katanya pada Kakigosip.

Zehra selamat bergelar isteri kepada Wan Muhammad Nurhariz Hariri dengan sekali lafaz, kira-kira jam 10.20 pagi, Sabtu lalu.

Pengacara Selamat Pagi Malaysia (SPM) itu dinikahkan oleh bapanya, Zambri Ahmad di Dewan Perkasa, Wisma Perwira, Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dalam majlis pernikahan itu, Wan Muhammad Nurhariz Hariri, 28, menyerahkan mas kahwin RM1,000, sebentuk cincin beserta lima dulang hantaran berbalas tujuh namun jumlah wang hantaran dirahsiakan.

“Alhamdulillah, hari ini memang cukup bersejarah bagi saya dan suami kerana kami disatukan.
“Lagi pula, kami pernah melalui pelbagai ujian, sebelum ini. Saya pernah putus tunang, bahkan suami juga lalui perkara sama.

“Insya-ALLAH, kami akan lebih saling mengenali di antara satu sama lain, selepas berkahwin.
“Mungkin boleh kata, ia adalah proses bercinta selepas berkahwin. Lagipun, itu juga yang lebih disaran dan digalakkan dalam agama (senyum),” katanya.

Pada masa sama, pelantun lagu Tari Sahara ini bersyukur apabila bersuamikan lelaki yang berbeza latar belakang daripadanya.

Lantaran itu, Zehra berharap agar suaminya dapat memahami soal kerjaya selain kehidupannya sebagai anak seni.

“Suami saya merupakan seorang guru di Bangsar.

“Kami ada sikap yang berbeza, suami lebih cool dan tenang berbanding saya yang cepat risau. Dia juga muda dua tahun daripada saya.

“Saya harap perbezaan itu membuatkan kami saling melengkapi selain berusaha menjaga saya dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Keadaan itu disambut baik oleh suaminya sekali gus membenarkan Zehra untuk terus terlibat dalam bidang seni.

“Insya-ALLAH, saya memahami akan kerjayanya.

“Malah, saya juga bersedia untuk menerima sebarang kritikan, cuma saya harap dia juga pandai menjaga diri,” katanya.
CH: Sikap bersederhana pikat hati

Berkongsi rahsia, Wan Muhammad Nurhariz Hariri mengakui terpikat dengan sikap kesederhaan yang dimiliki Zehra.

“Pertama kali bertemu dengannya, kami tak rasa kekok langsung. Saya dan dia ‘cepat masuk’ dan kami rasa sangat serasi,” katanya.

Bahkan, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini mengakui pernah mengenali Zehra yang mencipta nama melalui lagu Semalakama, ciptaan Pak Ngah untuk Anugerah Juara Lagu ke-21.

“Saya pernah dengar namanya, kerana ketika itu dia bersaing hebat dengan idola saya iaitu Mawi.
“Waktu itu, saya tertanya-tanya siapakah dia dan tak sangka pula dia jadi isteri saya hari ini (ketawa),” katanya.

Dalam pada itu, kedua-dua mempelai ini juga bersedia untuk menimang cahaya mata secepat mungkin.

“Kami tak ada plan langsung, tapi kalau boleh kami nak secepat mungkin.

“Lagipun, umur saya dah mencecah 30-an, ia lebih berisiko, jadi kami dah bersedia untuk bergelar ibu bapa,” kata mereka.

Sebagai meraikan hari bahagia, majlis resepsi mereka juga diadakan di lokasi sama, Sabtu lalu.
Pasangan pengantin baru ini juga akan diraikan sekali lagi dalam majlis sambut menantu pada 18 Oktober depan.

“Insya-ALLAH, saya dan suami akan ke Pulau Krabi, Thailand selepas majlis resepsi di Kota Bharu, selesai.

“Lagipun, alang-alang dah di Kelantan, jadi ambil saja peluang yang ada. Lagipun, saya bercuti hingga 24 Oktober ini, maka ia masa sesuai untuk bercuti sebentar,” katanya.

Pada masa sama, pasangan sejoli ini juga merancang untuk ke Mekah bagi menunaikan umrah, hujung tahun ini.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.