Berita Terkini
recent

Watie diperintah bayar kepada Jabatan Insolvensi

BEKAS anggota kumpulan Elite, Watie atau nama sebenarnya Norwati Sadali, diperintah membayar RM102,490.05 kepada Jabatan Insolvensi Malaysia bagi membersihkan status rakan kumpulannya, Hana atau nama sebenar Norhanasafiza Mat Adnan, yang diisytiharkan​​​​​​ muflis sejak 2013.

Perintah itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen Selayang Rasyihah Ghazali di dalam kamarnya hari ini dengan dihadiri Hana, 39, bersama-sama peguamnya Samir Zainal manakala Watie, 41, tidak diwakili peguam.




Samir ketika ditemui pemberita berkata mahkamah memerintahkan Watie membayar sebanyak RM99,500 sebagai bayaran pertama kepada Ketua Pengarah J​​​​​​abatan berkenaan sebelum atau pada 30 November ini.

"Watie perlu membayar RM102,490.05 kepada Jabatan Insolvensi sehinggalah jabatan berkenaan mengeluarkan satu surat pembatalan kebankrapan bagi mengesahkan Hana bebas dari status muflis," kata peguam itu yang turut memberitahu bahawa anak guamnya diisytiharkan muflis sejak 1 April 2013.

Samir berkata bayaran kepada Jabatan Insolvensi itu adalah​​​​​​​ sebahagian daripada ​​​​​ jumlah​​​​​ keseluruhan hutang Watie sebanyak RM707,351.83 yang perlu dibayar kepada Hana.

"Sehubungan itu, mahkamah turut memerintahkan Watie membayar RM2,500 kepada rakannya itu pada 25 haribulan setiap bulan bermula Januari tahun depan sehinggalah hutang berkenaan selesai dilunaskan,” katanya.

Hana, yang memenang kes saman terhadap Watie  pada 10 Mac 2015, memfailkan saman penghutang penghakiman pada 18 Mei lepas setelah pelakon itu gagal membayar ganti rugi berjumlah RM707,351.83 kepadanya sehingga kini.

Dalam saman penghutang itu, Hana turut memohon mahkamah mengeluarkan perintah waran tangkap sekiranya Watie gagal hadir ke mahkamah bagi memberi penjelasan berhubung kegagalannya membayar hutang itu.

Pada 10 Mac 2015, mahkamah memerintahkan Watie selaku defendan membayar ganti rugi berjumlah RM707,351.83 selepas membenarkan tuntutan saman Hana terhadap pelakon itu.

Hana menyaman Watie bagi menuntut ganti rugi berhubung kegagalan Watie menyelesaikan bayaran pinjaman bank yang menggunakan namanya bagi membeli sebuah kenderaan jenis Toyota Wish.

Dalam pernyataan tuntutan, Hana mendakwa beliau telah membuat pinjaman bank sebanyak RM150,000 untuk membeli kereta itu sekitar September 2005 bagi pihak Watie kerana pelakon itu tidak layak membuat pinjaman.

Hana selaku plaintif mendakwa selepas Watie memiliki kenderaan itu, beliau gagal mematuhi syarat ditetapkan termasuk tidak membuat bayaran ansuran sejak September 2010 kepada pihak bank yang menyebabkan Hana diisytiharkan muflis pada 1 April 2013.

Sementara itu, Hana, 39, berkata beliau berasa lega selepas penantiannya selama ini berakhir.

"Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan akhirnya saya dapat menjalani kehidupan saya seperti biasa. Kini, saya telah bebas dan dapat berjumpa dua anak, Aaron Danial Mann, 16, dan Alayna Daniella Mann, 15, yang kini berada di London bersama bekas suami," kata peragawati sambilan itu.

Bagaimanapun, pihak media gagal mendapatkan sebarang komen daripada Watie yang hadir pada prosiding hari ini dengan ditemani suaminya, Zulkifli Daud atau lebih dikenali sebagai Joey, selepas mereka bergegas meninggalkan mahkamah sebelum dilihat menaiki sebuah kenderaan.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.