Berita Terkini
recent

Visi seni Atmosfera: Mahu angkat status duo

KERJAYA seni yang dilalui duo, Atmosfera dalam arus muzik kontemporari tempatan berjaya mencatatkan reputasi baik setakat ini.

Meski masih mencari tapak dalam industri, namun single debut duo dua beradik iaitu Hezrown (Hezron Rayner), 25, dan Ganak (Hazrenol Rayner), 23, berjudul Berakirlah Sudah menjadi siulan pencinta muzik di negara ini.




Lebih manis, muzik video lagu berkenaan yang dimuat naik pada penghujung tahun lalu itu sudah ditonton hampir 13 juta kali tontonan.

Angka membanggakan itu nyata memberi ruang baik buat kumpulan yang berasal dari Keningau, Sabah ini untuk terus melangkah dalam dunia seni, seterusnya mengangkat status sebagai duo yang tidak boleh dipandang sebelah mata.

Bagaimanapun, baik Hezrown dan Ganak, masing-masing selesa dengan imej ‘underdog’. Tidak mahu mendabik dada atas kejayaan yang dilakar sebaliknya optimis untuk melakukan yang terbaik, demi memastikan momentum populariti tidak terumbang-ambing.

“Kami masih baru. Jadi pastinya banyak pengalaman yang perlu dikutip demi merealisasikan cita-cita. Kalau nak diikutkan, sudah ada yang mengenali kami khasnya di Keningau, Sabah. Tapi, kami akui dalam arus muzik perdana ini, masih ada yang kurang mengenali siapa Atmosfera berbanding lagu Berakhirlah Sudah.

“Jadi apabila mendapat peluang untuk bersaing dengan 29 lagu lain di peringkat semi final Muzik-Muzik hujung bulan ini, sedikit sebanyak menjadi sandaran serta peluang terbaik bagi Atmosfera untuk memperkenalkan diri,” kata Hezrown penuh semangat.

Berakhirlah Sudah ciptaan bapa kandung mereka, Rayner Alexander Rupin terpilih sebagai antara seleksi lagu yang berjaya mara ke peringkat Separuh Akhir Muzik-Muzik.

Manakala, 12 lagu terpilih pada minggu ketiga pula akan bersaing di Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) yang bakal berlangsung Februari depan.

Pikul Tanggungjawab besar

Menyifatkan platform Separuh Akhir Muzik-Muzik sebagai medium terbesar mereka setakat ini, anak sulung dan kedua tujuh beradik ini bagaimanapun enggan melihat persaingan sebagai suatu situasi yang mematahkan semangat sebaliknya berazam memberikan yang terbaik.

“Memanglah persaingan tu sengit. Lagu-lagu yang bertanding pun mempunyai reputasi yang baik. Malah, kehadiran penyanyi senior juga tidak kurang hebatnya. Mahu tidak mahu, kami akan melakukan beberapa persiapan rapi seperti melakukan latihan intensif, terutama dari segi kawalan vokal.

“Kami juga satu-satunya duo yang terpilih tahun ini. Kalau boleh kami mahulah angkat status sebagai duo pada fasa sepatutnya. Sebab kalau nak diikutkan, dunia seni kita memang kurang kemunculan duo adik-beradik,” katanya penuh visi kepada Media Hiburan.

Kongsi Hezrown juga, tanggungjawab atau amanah mereka juga besar, memandangkan lagu tersebut dicipta bapa sendiri.

Pada masa sama, harapan dan dorongan yang diterima daripada rakan sekampung turut memberi semangat buat kumpulan yang mulai dicungkil bakatnya di YouTube ini.

Pertaruh single kedua

Selepas kejayaan menerusi single pertama, Atmosfera turut meletakkan harapan sama terhadap single kedua, Tak Tahu Malu. Lebih beberapa bulan dilancarkan di platform muzik digital, lagu tersebut mendapat maklum balas baik dari pencinta muzik tempatan.

Lagu ciptaan Hezrown itu sehingga kini sudah mengumpul hampir 6 juta tontonan di YouTube.

“Tak Tahu Malu merupakan simbolik kepada kisah wanita yang main kayu tiga. Tak tahu malu apabila sanggup menduakan kekasih. Hrapnya dapat capai kejayaan sama seperti single terdahulu,” luah Hezrown ringkas.

Mengharapkan sokongan berterusan, Atmosfera juga berharap agar ‘hayat’ mereka di arena muzik ini kekal berterusan, seiring dengan sokongan teman seangkatan lain dan pencinta muzik tanah air.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.