Berita Terkini
recent

Tuduhan Curang Mahu Sabotaj Indah Ruhaila

PENYANYI Indah Ruhaila menyifatkan tindakan individu yang memburukkan namanya dengan mendakwa dia berlaku curang sehingga ikatan pertunangannya  putus sebagai mensabotaj karier seninya.

Indah, 32, menjelaskan fitnah dilemparkan individu terbabit sedikit sebanyak telah menjejaskan karier seninya yang baharu sahaja berkembang selepas dia tersingkir daripada program AF Megastar dua minggu lalu.

"Mungkin itu motif dia ingin sabotaj karier saya tapi jujurnya saya sendiri tidak tahu apa niatnya kaitkan kembali perkara lama.


"Perkara seperti ini memang akan memberi kesan negatif kepada karier saya tetapi saya tak mahu terlalu fikirkannya," katanya.
Indah ditemui pada pelancaran Kuala Lumpur Wedding Festival (KLWF) yang diadakan di Hotel Premiera Kuala Lumpur, Khamis.

Festival yang bakal berlangsung pada 27 hingga 29 Oktober ini bakal menyaksikan lebih 50 vendor terkenal bakal menawarkan pelbagai pakej perkahwinan kepada bakal pasangan pengantin.

Antara nama besar yang bakal terlibat adalah Rizman Ruzaini, Rico Rinaldi, Azura Couture, Cherita by Nafarehan, Ezuwan Ismail dan Minaz Creation.

Dalam pada itu, Indah berkata, dia tidak mengenali individu yang cuba memburuk-burukkan dirinya itu di laman sosial.

Sebaliknya kata Indah, dia mengetahui mengenai perkara itu selepas diberitahu oleh seorang wartawan yang menelefonnya untuk mendapatkan reaksi mengenai dakwaan tersebut.
"Tak kenal dan tidak tahu siapa dia. Biarlah, saya tidak mahu ulas apa-apa kerana ia pasti akan berlarutan nanti," jelasnya.

Selain tuduhan berkenaan, individu itu turut membangkitkan isu wang dan meminta Indah dan keluarganya membayar semula wang dipinjam daripada bekas tunangnya untuk persiapan perkahwinan mereka yang sepatutnya berlangsung pada Mac lalu.

Dalam perkembangan lain, Indah mengakui dia kini bahagia dengan kehidupan sekarang dan fokusnya kini untuk memantapkan lagi karier seninya.

Dia juga tidak menafikan sedang rapat dengan seseorang namun hubungan itu masih dalam fasa berkawan.


www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.