Berita Terkini
recent

Tidak terima PPR kerana mahu rumah lebih selesa

Bekas Pegawai Masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang mengakui bukan dia tidak mahu menerima tawaran menduduki rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seksyen 8, Kota Damansara oleh kerajaan negeri sebaliknya mahukan rumah yang lebih selesa dan membolehkan dia menjalankan perniagaan kedai makan.

Abdul Razak Said, 50, berkata, keadaan dan persekitaran di PPR berkenaan tidak memungkinkan dia menjalankan perniagaan makanan kerana keadaan prasarananya yang kurang lengkap.

"Punca pendapatan saya dan keluarga bergantung kepada kedai makan diberi nama 'sup gadai nyawa' yang dirobohkan ini.

"Jika kami pindah ke PPR itu, bagaimana kami nak berniaga, siapa nak bagi kami duit untuk tanggung kehidupan," katanya kepada Sinar Harian, di lokasi rumah yang dirobohkan di sini petang tadi.


Pada masa sama, bekas bilal di Masjid LTSAAS itu berkata, dia mahukan kediaman yang setimpal dan bersesuaian untuknya menjalankan perniagaan.

"Jika mengambil kira kerugian rumah dan kedai yang diroboh pihak berkuasa ini, saya berdepan kerugian berjumlah hampir RM400 ribu.

"Jadi saya mahu kerajaan negeri dan Malaysia Airport Berhad (MAB) beri pampasan yang setimpal dengan kos kerugian yang kami tanggung, setidak-tidaknya rumah yang selesa bagi membolehkan kami meneruskan kehidupan," katanya.

Semalam, rumah dan kedai makan beliau termasuk sebuah lagi rumah bekas pegawai masjid yang terletak bersebelahan Masjid LTSAAS telah dirobohkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Petaling dengan dibantu beberapa agensi penguatkuasaan lain.

Dalam pada itu, isterinya, Noorsalwa Alias, 46, berkata, dia dan beberapa anaknya kini terpaksa berteduh buat sementara waktu di rumah inap desa hasil bantuan Pas kawasan Subang.

"Kami belum rancang nak tinggal di mana, bagaimanapun buat masa sekarang suami dan anak menumpang tidur di masjid LTSAAS sambil memantau keadaan barang yang masih berada di tapak rumah yang robohkan.

"Kami masih buntu ke mana mahu pergi, kami hilang arah tuju kerana pendapatan penuh kami sekeluarga bergantung kepada kedai makan 'sup gadai nyawa' yang sudah roboh ini," katanya.

Sementara itu, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, kerajaan negeri telah menyediakan rumah di PPR Seksyen 8, Kota Damansara bagi kedua-dua keluarga bekas pegawai masjid berkenaan.

"Ia akan diuruskan Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) dan kerja-kerja pemindahan pula akan dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

"Mereka tak perlu bayar sewa untuk enam bulan pertama, mereka boleh masuk rumah tersebut dalam masa terdekat," katanya.

Katanya lagi, jika mereka enggan menerima tawaran kerajaan negeri, itu terpulang kepada mereka kerana pihaknya hanya boleh menawarkan langkah penyelesaian.
Powered by Blogger.