Berita Terkini
recent

Thanuja kumpul ramai peminat Melayu

BEKAS Ratu Cantik Malaysia 2009/2010 dan juga pengacara popular, Thanuja Ananthan akui mula jatuh cinta dalam bidang lakonan selepas kali pertama berlakon menerusi filem Temuan Takdir (2016) yang sekali gus melayakkan menerima pencalonan awal di Festival Filem Malaysia Ke-29 (FFM29) lalu.

Biar pun sebelum ini tidak pernah menyasarkan misi untuk bergelar pelakon, namun pendiriannya kini berubah apabila dapat pelbagai tawaran menarik yang menguji kemampuannya dalam bidang lakonan.




“Sebenarnya sejak awal dinobatkan Ratu Cantik Malaysia lagi, saya sudah beberapa kali diberi tawaran berlakon.


“Namun ketika itu saya tidak berminat kerana kebanyakan watak  stereotaip dengan penampilan saya sebagai model iaitu menjadi gadis seksi, liar atau perampas suami orang dan sebagainya.


“Saya tidak ragu-ragu untuk menolaknya kerana untuk penampilan pertama dalam lakonan, saya mahu tampil menerusi watak yang tidak memaparkan saya dengan karakter yang sebegitu sebagaimana watak saya dalam filem Temuan Takdir,” ujarnya.

Selepas penampilan dalam filem pertamanya itu diterima ramai, Thanuja mula yakin untuk bergiat aktif dalam bidang lakonan, apatah lagi dia selepas itu berpeluang untuk bekerjasama dengan nama-nama besar dalam industri.

“Perkara paling saya tak sangka apabila berpeluang terlibat dalam drama bersiri terbitan Astro, Anak Merdeka yang mana saya dapat bekerja dengan pengarah seperti Kabir Bhatia dan Bernard Chauly selain pelakon hebat-hebat belaka.

“Banyak benda baru yang saya belajar sepanjang menjalani penggambaran siri ini membuatkan keinginan saya untuk terus mendalami bidang lakonan semakin berkobar-kobar.

“Saya cuma berharap agar terus diberi peluang untuk cabar diri saya membuktikan bakat dalam bidang ini kerana jujurnya saya mula rasa seronok berlakon,” luahnya.

Mengakui sering berdepan pandangan sinis sesetengah pihak yang menganggap model yang menceburi bidang lakonan hanya bersandarkan rupa paras semata-mata, Thanuja berusaha membuktikan sebaliknya.

“Memang dari dulu lagi kita sudah biasa dengar orang cakap model yang jadi pelakon hanya jual rupa berbanding bakat yang mereka ada.

“Saya tidak kisah dengan pandangan itu, sebaliknya berusaha untuk cuba buktikan anggapan mereka tidak benar dengan beri persembahan terbaik setiap kali diberi peluang.

“Malah kalau ada pilihan, saya suka nak cuba watak mencabar terutama melibatkan fizikal untuk tengok sejauh mana saya boleh lakukan,” kata Thanuja yang mengimpikan watak superhero pada masa akan datang.

Teruja sambut Deepavali bersama abang

Selain bergelar pelakon, Thanuja juga aktif dalam bidang pengacaraan di mana dia sering diberi peluang mengendalikan beberapa program TV, selain menjadi emcee untuk majlis-majlis tertentu.

“Sebelum berlakon, saya terlebih dahulu aktif dalam bidang pengacaraan apabila banyak dapat tawaran stesen TV untuk buat program terutama berbahasa Melayu.

“Saya masih ingat, program pertama saya adalah bersama TV3 di mana ia ketika itu saya dapat kepercayaan kendali program travelog berbahasa Melayu.

“Bermula dari situ bakat saya dalam bidang ini dilihat orang dan mula dapat pelbagai tawaran mengacara sehinggalah ke hari ini,” katanya.

Biar pun semakin dikenali dalam bidang lakonan dan pengacaraan, Thanuja memberitahu dia belum berhasrat meninggalkan dunia peragaan yang telah julang namanya sebelum ini.

“Bidang peragaan adalah cinta pertama saya dan saya masih lagi seronok untuk terus aktif dalam bidang ini.

“Cuma kalau nak dibandingkan dengan dulu, saya kini lebih selektif dan hanya menerima tawaran kerja yang berbaloi sahaja, selain menjayakan kempen-kempen untuk projek tertentu.

“Dulu ketika masih baru dalam bidang ini saya ambil semua peluang yang ada, tetapi sesuai dengan komitmen dan pengalaman yang ada sekarang, saya kini lebih bijak memilih,” katanya.

Apa yang menariknya juga, gadis tinggi lampai yang cukup dikenali dengan sikap merendah dirinya ini sebenarnya mempunyai ramai peminat Melayu.

Mungkin disebabkan itulah Thanuja sering ditawarkan mengendalikan program berbahasa Melayu selain berlakon dalam filem mahu pun drama Melayu.

“Suatu hakikat yang perlu saya akui, sejak dari awal saya aktif dalam bidang seni sehinggalah sekarang, kebanyakan peminat saya adalah terdiri daripada mereka yang berbangsa Melayu.

“Bukan tidak ada peminat dari kalangan bangsa lain, namun memang peminat Melayu lebih mendominasi dan kenal saya sebagai selebriti,” katanya yang anggap bahasa Melayu sebagai bahasa keduanya selain Inggeris.

Dalam pada itu, pengacara program Best In Town ini juga meluahkan keterujaannya menyambut Deepavali yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Manakan tidak, pada tahun ini Thanuja dan keluarga meraikan perayaan itu bersama abangnya, Rajeev Ananthan yang sebelum ini lama menetap di Ireland.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.