Berita Terkini
recent

Thanuja Akui Ramai Peminat Melayu

BEKAS Ratu Cantik Malaysia 2009/2010 dan juga pengacara popular, Thanuja Ananthan mengakui mula jatuh cinta dalam bidang lakonan selepas kali pertama berlakon menerusi filem Temuan Takdir (2016) yang sekaligus melayakkan menerima pencalonan awal di Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29) yang lalu.

Biarpun sebelum ini tidak pernah menyasarkan misi untuk bergelar pelakon, namun pendiriannya kini berubah apabila mendapat pelbagai tawaran menarik yang menguji kemampuannya dalam bidang lakonan.

“Sebenarnya sejak awal dinobatkan sebagai Ratu Cantik Malaysia lagi, saya sudah beberapa kali diberikan tawaran untuk berlakon.

“Namun ketika itu saya tidak begitu berminat kerana kebanyakan watak yang datang agak streotaip dengan penampilan saya sebagai model iaitu menjadi gadis seksi, liar atau perampas suami orang dan sebagainya.

“Saya tidak ragu-ragu untuk menolaknya kerana untuk penampilan pertama dalam lakonan, saya mahu tampil menerusi watak yang tidak memaparkan saya dengan karakter yang sebegitu sebagaimana watak saya dalam filem Temuan Takdir,” ujarnya.

Mengakui sering berdepan dengan pandangan sinis sesetengah pihak yang menganggap model yang menceburi bidang lakonan hanya bersandarkan kepada rupa paras semata-mata, Thanuja berusaha untuk membuktikan sebaliknya.

“Memang dari dulu lagi kita sudah biasa dengar orang cakap model yang jadi pelakon hanya jual rupa berbanding bakat yang mereka ada.

“Saya tidak kisah dengan pandangan itu, sebaliknya berusaha untuk cuba membuktikan anggapan mereka itu tidak benar dengan memberikan persembahan terbaik setiap kali diberikan peluang.

“Malah kalau ada pilihan, saya suka nak buat watak-watak mencabar terutamanya yang melibatkan fizikal untuk tengok sejauh manakah saya boleh lakukan,” kata Thanuja yang mengimpikan watak superhero pada masa akan datang.

Selain bergelar pelakon, Thanuja juga aktif dalam bidang pengacaraan di mana dia sering diberikan peluang untuk mengendalikan beberapa program TV, selain menjadi emcee untuk majlis-majlis tertentu.
“Sebelum berlakon, saya terlebih dahulu aktif dalam bidang pengacaraan apabila banyak mendapat tawaran daripada stesen TV untuk buat program terutamanya program berbahasa Melayu.

“Saya masih ingat, program saya yang pertama adalah bersama TV3 di mana ia ketika itu saya mendapat kepercayaan untuk mengendalikan sebuah program travelog berbahasa Melayu.

“Bermula dari situlah bakat saya dalam bidang ini dilihat orang dan mula mendapat pelbagai tawaran mengacara sehinggalah ke hari ini,” katanya yang turut terlibat sebagai salah seorang pengacara di FFM29 baru-baru ini.

Biar pun semakin dikenali dalam bidang lakonan dan pengacaraan, Thanuja memberitahu dia belum berhasrat untuk meninggalkan dunia peragaan yang telah menjulang namanya sebelum ini.
“Bidang peragaan adalah cinta pertama saya dan saya masih lagi seronok untuk terus bergiat aktif dalam bidang ini.

“Cuma kalau nak dibandingkan dengan dulu, saya kini lebih selektif dan hanya menerima tawaran kerja yang berbaloi sahaja, selain menjayakan kempen-kempen untuk projek tertentu.

“Dulu ketika masih baru dalam bidang ini saya ambil semua peluang yang ada, tetapi sesuai dengan komitmen dan pengalaman yang ada sekarang, saya kini lebih bijak memilih,” katanya jujur.

Teruja sambut Deepavali bersama abang

Apa yang menariknya juga, gadis tinggi lampai yang cukup dikenali dengan sikap merendah dirinya ini sebenarnya mempunyai ramai peminat Melayu. Mungkin disebabkan itulah Thanuja sering ditawarkan mengendalikan program berbahasa Melayu selain berlakon dalam filem mahu pun drama Melayu.
“Suatu hakikat yang perlu saya akui, sejak dari awal saya aktif dalam bidang seni sehinggalah sekarang, kebanyakan peminat saya adalah terdiri daripada mereka yang berbangsa Melayu.

“Bukan tidak ada peminat dari kalangan bangsa lain, namun memang peminat Melayu yang lebih mendominasi dan mengenali saya sebagai seorang selebriti,” katanya menganggap bahasa Melayu sebagai bahasa keduanya selain Inggeris.

Dalam pada itu, pengacara program Best In Town ini juga meluahkan keterujaannya menyambut perayaan Deepavali yang bakal menjelang tidak lama lagi. Manakan tidak, pada tahun ini Thanuja dan keluarga bakal meraikan perayaan itu bersama dengan abangnya, Rajeev Ananthan yang sebelum ini lama menetap di Ireland.

“Sambutan tahun ini sangat istimewa kerana kali ini saya dan keluarga akan meraikan Deepavali bersama abang yang sudah lama tidak dapat beraya bersama kami kerana menetap di Ireland.

“Saya percaya Deepavali kali ini akan menjadi lebih bermakna dengan kehadirannya di mana kami semua semua dapat berkumpul setelah sekian lama tidak dapat meraikan Deepavali bersama-sama,” katanya.
Powered by Blogger.