Berita Terkini
recent

Teater Tun Kudu jadi inspirasi

MENGISI slot kedua Siri Pentas Drama 2017, teater Tun Kudu yang dipentaskan di Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 30 September hingga 1 Oktober lalu berjaya menarik kehadiran penonton pelbagai peringkat umur.

Meskipun tampil dengan sebuah karya klasik yang telah diketahui umum penceritaannya, teater terbitan Kelab Kesenian dan Kebudayaan Putrajaya dengan kerjasama JKKN ini tampil dengan gaya penceritaan yang lebih segar dan sesuai dengan khalayak penonton hari ini.




Malah menurut Sakrani Shamsudin selaku penulis skrip dan pengarah, pemilihan naskhah Tun Kudu dibuat bagi mengembalikan semula suasana teater pada era 1980-an iaitu drama sebabak dan purbawara yang menjadi kegemaran ramai.




Dalam masa yang sama, ia juga mahu menarik kembali perhatian generasi muda untuk mengenali dan menghargai teater dari genre sebegini agar tidak luput ditelan zaman.

Sebagai pengarah yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam teater, Sakrani, ternyata berjaya menggabungkan pelbagai elemen menarik menjadikan karya ini tidak hanya tertumpu kepada golongan tertentu sahaja.

“Seawal merancang pementasan ini, saya memang berharap mendapat sambutan di peringkat umur mana sekalipun.

“Jadi saya perlu lebih kreatif untuk membentuk naskhah ini agar lebih segar meskipun karya klasik selalunya dianggap sukar menarik minat generasi muda.

“Saya jadikan ia sebagai satu cabaran dan Alhamdulillah sepanjang pementasan selama dua hari, terutamanya untuk persembahan matinee (sebelah petang), kehadiran generasi muda sangat menggalakkan, malah di luar jangkaan awal saya sendiri,” katanya yang juga Presiden Persatuan Teater Malaysia.



Teater Tun Kudu sebelum ini ia pernah dipentaskan dalam Siri Semarak Bangsawan dengan tajuk Bangsawan Cinta Puteri Mekar Mewangi Layu Tak Berseri (2011) namun pementasan kali ini tampil dengan kelainan.

“Kali ini ia tidak dipentaskan dalam genre bangsawan, sebaliknya sebuah karya klasik yang lebih santai dan tidak terikat dengan gaya dan lenggok bahasa bangsawan yang mungkin sukar diterima generasi muda.

“Babak juga lebih mudah dan straight forward dalam menyampaikan cerita dan mesej menerusi setiap watak sama ada peranan utama mahukan watak kecil yang melengkapi cerita,” katanya.

Mengetengahkan tema kekuatan wanita sebagai inspirasi kepada masyarakat, naskhah ini menyampaikan mesej yang jelas menerusi watak Tun Kudu yang menjadi penasihat sultan dan akhirnya bertindak sebagai pendamai konflik antara dua pihak dalam memastikan keamanan negeri Melaka ketika itu.

“Peranan Tun Kudu sangat besar dalam menyatukan rakyat Melaka yang ketika itu sudah berpecah menjadi dua puak akibat pertelingkahan pembesar utama.

“Meskipun terpaksa mengorbankan perasaan sendiri, Tun Kudu sanggup menurut perintah Sultan yang mahu menceraikan dan mengahwinkan dia dengan lelaki lain demi kesejahteraan rakyat Melaka.

“Mesej ini sangat kuat dalam menjelaskan betapa besarnya peranan wanita dalam sesebuah pemerintahan bukan hanya pada zaman dahulu, tetapi juga pada era sekarang di mana ia harus dijadikan inspirasi terbaik buat semua wanita di luar sana,” tegasnya.

Pelakon baru, lama saling melengkapi

Teater Tun Kudu yang berdurasi hampir dua jam ini menampilkan barisan pelakon seperti Ain Sufia (Tun Kudu), Dior Shahril (Sultan Muzaffar Syah), Rosli Rahman Adam (Tun Ali), Din Sitara (Tun Perak), Neo Ibrahim (Datuk Seri Amerta), Khairul (Bentara), Filzah Azmi (Mak Inang) dan Rozita Rohaizad (Kembang Cina).

Gabungan pelakon lama dan baru ternyata menjadi taruhan terbaik dalam memastikan pementasan ini menepati kehendak naskhah selain dapat menghiburkan penonton.

“Saya sangat berbangga degan pementasan kali ini kerana dapat mengumpulkan pelakon dan tenaga produksi terbaik dan saling melengkapi untuk menghidupkan persembahan ini.

“Kerjasama ini juga bukan saja mampu memantapkan persembahan tetapi satu proses perkongsian ilmu di antara pelakon baru dan lama demi memastikan kesinambungan industri teater kita,” katanya.

Berkongsi cabaran utama mengarah naskhah ini, kata Sakrani, antara yang paling menguji dirinya adalah untuk menyesuaikan naskhah pementasan dengan ruang terhad panggung.

“Auditorium Kompleks JKKN ini sebenarnya mempunyai ruang yang agak terhad untuk sebuah pementasan klasik ala bangsawan ini, namun saya tidak melihat ia sebagai satu masalah untuk membataskan kami berkarya.

Justeru, katanya kreativiti penting dan dia cuba menggunakan pengalaman yang ada untuk memastikan ruang pentas digunakan sepenuhnya.

“Meskipun bermain di ruang yang terhad, kami berjaya menggunakan empat latar tempat berbeza dengan set pentas yang bersesuaian selain pertukaran babak yang dilakukan tanpa mengganggu tumpuan penonton,” jelasnya lagi.

Beri impak berbeza

Rosli Rahman Adam yang memegang peranan sebagai Tun Ali mengakui tidak berdepan masalah besar dalam merealisasikan watak kerana pernah menjayakannya sebelum ini.

Bagaimanapun, Rosli cuba menampilkan pembaharuan menerusi aksi lakon yang lebih liar agar penampilannya kali ini dapat memberi impak berbeza buat penonton.

“Kelainan yang mungkin ketara dalam lakonan saya kali ini adalah dari aspek pengisian watak Tun Ali yang jelas lebih liar daripada apa yang pernah dilihat sebelum ini.

Rosli yang dikenali sebagai pelakon pentas berkarakter, mementingkan variasi supaya penonton tidak bosan dengan satu corak persembahan sahaja,

Mengulas penampilannya yang cukup memberi impak berbanding rakan lakon lain terutama angkatan baru, Rosli, menyifatkan perkara itu tidak lebih sekadar memenuhi tanggungjawabnya kepada watak.

“Bukan niat saya untuk over shadow mereka dan semestinya ia bukanlah satu tindakan yang bagus dalam sebuah pementasan teater kerana setiap pelakon harus saling melengkapi antara satu sama lain.

“Pelakon baru perlu banyak belajar menguasai pentas dengan gaya persembahan yang pelbagai dan bukan sekadar melontar dialog semata-mata,” ujarnya.

Tun Kudu watak sangat berat

Ain Sufia yang sebelum ini sinonim sebagai pelakon komedi menyifatkan pementasan teater Tun Kudu ini sebagai satu naskhah yang cukup mencabar kerana perlu bermain dengan emosi.

Bukan sekadar melontar dialog, tetapi perasan dalam watak perlu disampaikan dengan tepat kepada penonton.

Peranannya sebagai permaisuri diakui sukar pada awalnya namun atas tunjuk ajar pengarah dan kerjasama terbaik daripada rakan-rakan berpengalaman banyak membantu.

Mengakui masih banyak kekurangan yang perlu diperbaiki, Ain yang sudah beberapa kali tampil dalam naskhah bangsawan ini percaya kerjasama berterusan antara pelakon baru dan lama dapat berkongsi pengalaman dalam memartabatkan industri teater.

“Walaupun terasa kecil berada dalam kalangan pelakon senior yang hebat dalam pementasan ini, namun saya rasa cukup bertuah kerana dalam menimba banyak ilmu dengan mereka," katanya yang turut menyanyikan beberapa lagu dalam pementasan ini.


Secara keseluruhannya jalan cerita teater ini dan skrip yang tidak meleret dan mudah difahami, pementasan ini ternyata berjaya perhatian penonton.

Kreativiti dalam pembentukan set pentas, kostum dan gubahan muzik juga menjadi antara elemen saling melengkapi.

Meskipun peranan Tun Kudu dilihat sedikit tersasar dari sudut paparan yang diberikan sebagai srikandi yang bijak dan berpengaruh kepada wanita yang menjadi mangsa, namun ia berjaya diatasi dengan persembahan lakonan berkesan dari barisan pelakon yang ada.

SINOPSIS

Mengisahkan Tun Kudu yang cantik, jelita dan bijaksana telah menjadi Permaisuri dalam usahanya untuk mencari kebenaran di atas kematian bapanya, Bendahara Sri Wak Raja. Namun percintaannya di istana hanya dikasihani oleh sultan bukan cinta di hati sehingga Tun Kudu makan hati berulam jantung.

Adiknya Tun Perak pula sering bertelagah dengan Datuk Seri Nara Tun Ali bapa saudara sultan menambahkan membuatkan keadaan Melaka diancam perpecahan.

Demi Melaka dan demi cintakan saudaranya Tun Perak, Tun Kudu telah mengusulkan kepada sultan supaya bapa saudaranya Tun Ali dibersarakan dan dikahwinkan dengan perempuan yang mempunyai pertalian dengan keluarga Tun Kudu  untuk merapatkan persaudaraan.

Namun sebaliknya telah berlaku apabila Tun Ali menuntut Tun Kudu sebagai pengganti  syarat peletakan jawatannya sebagai bendahara dan membalas budinya membantu sultan mendapatkan takhta Melaka.
Powered by Blogger.