Berita Terkini
recent

Teater Kontena 404 penuhi syarat Istana Budaya

SESEBUAH projek teater atau persembahan boleh dibatalkan dengan serta merta daripada dipentaskan di Istana Budaya (IB) jika penerbit dikaitkan dengan kesalahan jenayah.

Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, dua lagi faktor yang menyebabkan teater atau persembahan terpaksa dibatalkan di IB ialah jika penerbit itu gagal menjelaskan bayaran deposit yang ditetapkan.

"Contohnya, jika penerbit merancang untuk mengadakan pementasan di Panggung Sari IB, dia perlu menjelaskan bayaran deposit sebanyak RM3,000 terlebih dahulu.

"Selain itu, pementasan akan dibatalkan jika tema atau jalan ceritanya didapati menyentuh sensitiviti agama dan masyarakat berbilang kaum di negara ini," katanya. Juhari berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kontroversi membabitkan pelakon Datuk Boy Iman dan teater Kontena 404 terbitan DBI Entertainment yang bakal dipentaskan selama tiga hari bermula 20 Oktober ini.

Sementara itu, Juhari berkata, pihaknya tidak boleh membatalkan pementasan Teater Kontena 404 arahan Raja Azrey itu kerana penerbit memenuhi semua syarat dan prosedur yang ditetapkan pihak IB.

"Pihak DBI Entertainment sudah membuat permohonan awal untuk mengadakan pementasan Teater Kontena 404 di IB sebelum pihak polis menjalankan siasatan membabitkan kes Boy Iman baru-baru ini.

"Saya sudah merujuk jabatan undang-undang pementasan Teater Kontena 404 juga boleh dibatalkan jika hasil siasatan pihak polis membuktikan Boy Iman didapati bersalah oleh pihak mahkamah.

"Setakat ini, Boy Iman hanya ditahan untuk membantu siasatan sahaja," katanya.

Bagaimanapun, Juhari berkata, pihaknya dimaklumkan DBI Entertainment, Boy Iman bukanlah penaja utama teater itu lagi.

"Saya akan bertemu dengan pihak DBI Entertainnent untuk mendapatkan kepastian mengenai perkara ini.

"Jika benar Boy Iman tidak lagi terbabit sebagai penaja utama, pihak IB tidak ada masalah untuk meneruskan teater ini seperti direncanakan.

"Malah, jualan tiket untuk menonton teater ini juga menggalakkan,” katanya.

Dalam laporan sebelum ini,Pengurus Besar DBI Entertainment, Lyana Zulkepli menjelaskan kos pementasan sebanyak RM100,000 itu dibiayai penaja dan penyumbang yang akan diumumkan kelak.

Menurutnya, sumber kewangan bukanlah daripada Boy Iman kerana mereka hanya entiti di bawah kumpulan syarikat pelakon itu.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.