Berita Terkini
recent

Tak pernah rasa tergugat

Bukan mudah mengekalkan momentum karier, lebih-lebih lagi dengan kebanjiran wajah baru yang mewarnai industri seni mutakhir ini.

Namun, penyanyi Sharul Kamal menegaskan tidak pernah berasa tergugat.


Kata Sharul, dia percaya setiap artis ada kelebihan masing-masing untuk kekal lama dan relevan dalam industri.

“Saya akui bukan mudah mahu bergelar penyanyi. Walaupun saya sudah dikenali melalui program realiti Akademi Fantasia 2015 (AF2015), ia tidak menjanjikan apa-apa untuk karier saya.

“Saya tidak kisah untuk kembali bermula dari bawah demi memastikan karier nyanyian setanding penyanyi lain.

“Lagipun, saya tidak melihat kehadiran penyanyi baru sebagai persaingan. Walaupun saya tidak sepopular rakan AF2015 yang lain, saya akan tetap berusaha keras memastikan lagu saya diterima ramai,” katanya.

Selepas tampil dengan lagu Dengar dan Hanya Kamu, Sharul kini mempertaruhkan single baru berjudul Racun Rindu ciptaan Aepul Roza yang dilancarkan pada 19 September lalu.

Kata Sharul, dia mengambil masa agak lama bagi memastikan produk yang dipersembahkan ini menepati kehendak peminat.

“Saya memilih lagu berentak 90-an memandangkan ia jadi ikutan semasa. Alhamdulillah, selepas dimuat naik di YouTube lagu ini mencatat hampir 21,000 tontonan.

“Saya meletakkan sepenuh hati terhadap lagu ini. Saya tidak mahu mensia-siakan peluang yang diberikan ini. Saya berharap lagu ini menjadi titik permulaan untuk saya kembali bangkit mengejar impian,” katanya.
Powered by Blogger.