Berita Terkini
recent

Tak hairan juara corot

Agak mengejutkan apabila Ahad lalu, tiga juara Akademi Fantasia (AF) - Sufi, Shahir dan Amir yang menyertai AF Megastar, berada di tangga terbawah seterusnya menyaksikan Sufi tersingkir pada konsert minggu kelima.

Ternyata menjadi juara program realiti yang pernah digilai ramai satu ketika dulu bukan tiket untuk Sufi terus mendapat undian tinggi. Situasi ini juga menunjukkan mereka yang pernah menjuarai AF langsung tidak menonjol.

Shahir yang menjuarai Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) tidak menafikan kebanyakan peserta bukan pilihan dan bukan juara jauh lebih menonjol sepanjang AF Megastar berlangsung.

Katanya, dia menjadi juara AF8 atas rezeki dan pada waktu sama dia sudah lama berehat menyebabkan dia banyak ketinggalan apabila muncul semula di pentas AF Megastar.

“Bagi saya, semua yang menyertai AF Megastar mempunyai peluang sama rata tidak kira mereka bergelar juara atau tidak. Setiap penyanyi juga mempunyai kelebihan dan warna berbeza pada sudut persembahan.

“Sewaktu dalam AF ia menjadi tempat untuk penyanyi baru menunjukkan kemampuan sendiri. Apabila menyertai AF Megastar, melihat peserta lain memberi persembahan yang bagus saya melihatnya pada sudut positif dengan menjadikan ia cabaran untuk memperbaiki persembahan saya setiap minggu,” katanya.

Shahir atau Ahmad Shahir Zawawi berkata, disebabkan sudah lama tidak muncul menyanyi, dia tidak meletak harapan tinggi untuk muncul juara AF Megastar sebaliknya berusaha untuk memberikan persembahan terbaik bagi peminat yang selama ini banyak menyokong.

“Selebihnya saya letakkan soal berjaya atau tidak pada rezeki. Waktu sama, saya cuba menggunakan pentas AF Megastar sebagai platform untuk mengembalikan ingatan peminat terhadap kerjaya seni saya sebagai penyanyi.

“Jumlah tontonan tinggi yang diperoleh program ini juga secara tidak langsung membantu saya untuk mempromosikan diri untuk membuat kemunculan kembali. Saya menjadikan AF Megastar sebagai titik permulaan untuk aktif semula,” katanya.

Shahir yang mendapat komen juri ketika menyampaikan lagu Pencuri Hati untuk tema Mahakarya minggu lalu tetap gembira kerana hubungan dengan peserta lain sangat baik bak adik-beradik hingga saling bantu-membantu kalau bertanya sesuatu membabitkan vokal dan persembahan.

Bagi Amir atau Amir Syazwan Mazdi yang juga juara (AF 2016), impak yang diperoleh selepas diumum juara tidak besar menyebabkan kerjaya seninya dilihat suram berbanding juara AF musim terdahulu.

Katanya, hendak diikutkan dia masih baru dan tidak mempunyai banyak pendedahan. Menyertai AF Megastar dan bersaing dengan mereka yang jauh lebih berpengalaman mampu memberikan dimensi baru buat dirinya dalam mengukuhkan lagi kedudukan sebagai penyanyi.

“Tidak kira apa juga pandangan diberi terutama yang mengatakan saya tidak layak untuk bersaing dengan mereka yang sudah jauh pengalaman kerana bagi saya, sepanjang membabitkan diri dalam AF Megastar banyak perkara baik dan positif yang saya peroleh,” katanya.

Amir juga akui dia adalah juara AF paling tidak popular dan melihat pembabitannya dalam AF Megastar sebagai ruang dan peluang untuk memperkenalkan dan mengukuhkan namanya dalam membentuk kerjaya sebagai penyanyi.

“Andai orang membandingkan saya dengan peserta lain, sudah tentu saya banyak kekurangan terutama pada sudut pengalaman.

“Apabila menyertai program realiti baru ini, sekurang-kurangnya saya dapat lihat dan belajar daripada mereka yang mempunyai banyak pengalaman.

“Ramai peserta yang layak menyertai AF Megastar ini pada peringkat awal tidak menonjol tetapi apabila keluar, mereka berusaha mencipta karya dan nama sendiri,” katanya.

Tambah Amir, pengalaman juga banyak diperoleh peserta lebih senior. Kelebihan itu jelas dilihat apabila mereka tampil mengadakan persembahan setiap minggu.

“Sebagai orang baru, ia sangat berguna untuk saya apabila dapat berkongsi pentas bersama mereka. Malah mereka juga

banyak mengajar dan berkongsi ilmu.

“Semua ini saya akan gunakan apabila program ini tamat nanti. Saya tidak menyesal kalau tidak bergelar juara kerana bagi saya, ilmu dan pengalaman itu jauh lebih berharga,” katanya.

Malam ini Amir dan Shahir meneruskan perjuangan dalam AF Megastar bersama Indah, Amir Jahari, Marsha, Bob, Syamel dan Idayu.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.