Berita Terkini
recent

Suntik elemen unik

Tampil dengan musim baru, Oh My English! Level Up lebih segar dan mengetengahkan kelainan.

Mula ditayangkan sejak 1 Oktober lalu menerusi saluran AstroTVIQ dan serentak di Maya HD, musim ini masih bersiaran setiap Ahad jam 6.30 petang.

Jika sebelum ini ditayangkan selama setengah jam, untuk musim ini durasi dikurangkan kepada 15 minit dan merangkumi 26 episod.

Penolong Naib Presiden Bahagian Pendidikan Astro, Sharifah Noraidah Syed Ismail berkata, apabila siri ini tampil musim demi musim, perlu untuk mereka menyuntik elemen baru.

“Penting untuk kami me­nyuntik elemen unik dalam setiap musim agar penonton terus terhibur.

“Menerusi siri kali ini banyak watak baru diwujudkan. Malah kita perkenalkan semua pelajar baru,” katanya.

Sharifah Noraidah berkata, memandangkan pelajar semuanya baru, mereka menampilkan watak Zack lakonan Juzzthin sebagai guru sandaran di mana sebelum ini dia adalah salah seorang pelajar.

Begitu juga dengan watak Jojie lakonan Nadiya Nisaa yang akan menjadi guru Pendidikan Jasmani.

Watak See Yew Soon lakonan Roax Tan juga akan membuat penampilan istimewa dengan menjadi abang kepada seorang pelajar iaitu See Mi Nau.

“Watak guru Bahasa Inggeris juga diganti Mr James Blond lakonan Mark O’Dea.

“Personalitinya sangat berbeza dengan Mr Middleton dan kami berharap penonton akan terhibur,” katanya.

Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-29, Sangeeta Krishnasamy turut menjayakan musim keenam ini.

Tampil sebagai Cikgu Lakshmi, pelakon yang popular dengan filem Adiwiraku itu menggalas komitmen sebagai guru drama.

Manakala watak yang masih kekal ialah pengetua sekolah lakonan Adibah Noor, penolong pengetua lakonan Tauke Raja Lawak, guru Matematik (Carmen Soo) dan Cikgu Bedah (Sherry Al Hadad).

Oh My English! Level Up kali ini akan digamatkan lagi dengan keletah pelajar SMK Ayer Dalam seperti Danial, Sam, Amelia, Mawar, Fiona, See Mi Nau dan Wan Yunus.

Masing-masing punya karakter berbeza yang akan membuatkan guru mereka pening kepala.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.