Berita Terkini
recent

Sheeda baiki diri sebelum bertudung

Sudah memasuki usia 50-an, penyanyi dangdut Sheeda mengakui tiada niat untuk bersara daripada industri seni hiburan.

Bahkan, penyanyi yang popular dengan lagu Angkat Kaki ini lebih selesa bersikap enggan ambil peduli walau dikecam masyarakat.

“Buat masa ini, tak ada pula yang menyuruh saya bersara. Kalau ada pun, ia perkara biasa.
“Lagipun, saya tak hairan dengan kecaman kerana itu jugalah yang menaikkan nama saya.

“Saya tak peduli orang nak cakap apa kerana  rezeki saya terus bertubi-tubi ALLAH bagi,” katanya pada Kakigosip.

Katanya, kerjayanya sebagai penyanyi berpijak pada dunia realiti kerana ia berlandaskan kepada kehidupan semata-mata.

“Saya menyanyi kerana mencari rezeki untuk keluarga.

“Saya bukan sekadar nak berseronok-seronok seperti masa lalu. Lagi pula, semua itu dah pun berlalu,” katanya.

Dalam pada itu, Sheeda mengakui menyimpan niat untuk berhijab, suatu hari nanti.
Bagaimanapun, pelantun lagu Secangkir Madu Merah ini hanya akan melakukannya apabila sudah bersedia.

“Insya-ALLAH, sampai masa nanti saya pasti akan berhijab dan menyanyikan lagu-lagu kerohanian.
“Saya dalam fasa menuju ke arah itu cuma buat masa ini saya perlu selesaikan beberapa urusan dunia sebelum menuju akhirat,” katanya.

Bahkan, penyanyi yang popular dengan lagu Angkat Kaki ini dalam proses pembelajaran untuk berubah ke arah kebaikan.

“Saya percaya, seseorang baik bukan diukur daripada keadaan luaran tetapi dalamannya.

“Jadi, saya kena ‘bersihkan’ diri dulu,  kena baiki dari segi dalaman.

“Lagipun, saya tak mahu bila dah pakai tudung, tapi saya terus jalani aktiviti bersosial.

“Malah, saya tak malu akui saya sedang belajar balik mengaji al-Quran, hukum tajwid,” katanya.
CH: Irama murahan?

Sementara itu, pemilik nama sebenar Sayyida Beevi M Shahul Hameed kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang sering melabelkan muzik dangdut sebagai irama murahan.

Bahkan, katanya, ada sebilangan pelapis baru ‘malu-malu’ untuk menyanyikan lagu-lagu berirama dangdut.

“Budak-budak sekarang bila kita ketengahkan lagu dangdut, semua malu nak ambil bahagian. Betul tak?.

“Tapi bila berkunjung ke pusat karaoke, mesti nak pilih lagu dangdut.

“Mungkin mereka rasa dangdut bukanlah irama yang bertaraf tinggi sebab selalunya orang kategorikan muzik dangdut ini sebagai murahan,” katanya.

Justeru, katanya, masyarakat hari ini perlu dididik untuk menghargai setiap karya sekali gus memartabatkan industri hiburan tempatan.

Pada masa sama, penyanyi lagu Sana Cinta Sini Cinta ini mengakui terkesan dengan penerimaan positif muzik dangdut dari Indonesia.
“Orang kita tak sedar dangdut adalah muzik Melayu dan Indonesia pun mengakuinya.

“Malulah bila kita sendiri tak nak perjuangkan irama muzik sendiri sehinggakan mereka turut sama-sama menaikkan lagu dangdut.

“Mereka (penyanyi Indonesia) bangga dengan irama Malaysia tetapi kita pula sampai nak kena sekat dan bersikap memilih bulu. Sayang lah kalau kita biarkan begitu sahaja,” tegasnya lagi.

Sheeda juga memberitahu bakal memeriahkan Karnival Jelajah Mesra Medan Jodoh 2017 di Padang Awam Batu Anam, Segamat, Johor pada 14 Oktober ini.

Kata Sheeda, karnival sembilan hari bermula 6 Oktober ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti sukan rakyat bersama bangsa Johor selain ada booth jualan daripada artis jemputan.

Terkini, Sheeda juga merancang melancarkan mini album, tidak lama lagi.

“Semuanya terdapat lima lagu, tapi kemungkinan besar saya akan melancarkan single demi single terlebih dulu,” katanya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.