Berita Terkini
recent

Sayang lagu dangdut

Meskipun dangdut sering dilabelkan sebagai muzik murahan, hakikatnya ramai meminati irama itu cuma mereka malu untuk mengakuinya secara terbuka.

Buktinya, di kebanyakan pusat karoake lagu dangdut antara yang menjadi pilihan pengunjung.

Menurut Sheeda, 53, dia terkilan apabila ada penyanyi baru malu menyanyikan lagu dangdut sedangkan irama itu ada pengikut.

“Saya masuk GV (Gegar Vaganza musim kedua) kerana mahu lagu dangdut dimainkan pada setiap minggu. Saya tidak mengharapkan kemenangan, tetapi berpuas hati kerana berjaya mengumpul peminat baru. Ramai remaja menyanyikan lagu dangdut apabila ke pusat karaoke, tetapi mereka tidak kenal penyanyi asal lagu itu,” katanya

Menurut Sheeda, pencinta muzik di Indonesia mengangkat irama dangdut dan mengakui genre itu berasal dari Malaysia.

“Saya sangat terkesan dengan penerimaan serta pujian peminat di sana terhadap irama dangdut. Orang kita tak sedar dangdut adalah muzik Melayu sedangkan masyarakat di Indonesia mengakui genre ini berasal dari Malaysia.

“Malulah kalau kita enggan perjuangkan irama muzik ini walhal di sana mereka berlumba-lumba menaikkan irama ini. Penyanyi Indonesia bangga dengan irama Malaysia, tetapi kita pula sengaja sekat dan bersikap pilih bulu,” katanya.

Sheeda atau nama sebenarnya Rashidah Hamid akan tampil dengan mini album yang memuatkan lagu Papa Mama Papa Mama, Angkat Tangan, Sakti, Muah Muah Sayang dan Kacip Fatimah. Album itu akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Selain itu, Sheeda bakal memeriahkan Karnival Jelajah Mesra Medan Jodoh 2017 di Padang Awam Batu Anam, Segamat, Johor yang berlangsung sembilan hari mulai 6 Oktober ini.

“Ada pelbagai aktiviti seperti sukan rakyat selain gerai jualan artis jemputan. Konsert Rock-dut pula akan berlangsung pada sebelah malam 14 Oktober di mana saya sudah menyediakan sekurang-kurangnya enam lagu untuk dipersembahkan kepada peminat.

“Biasanya saya tidak kedekut dengan peminat, saya akan sediakan lagu lebih untuk mereka. Kadangkala saya boleh menyanyikan sampai 10 lagu,” katanya.
Powered by Blogger.