Berita Terkini
recent

Sasha akui Elite bakal kembali

BAGI mereka yang membesar sekitar akhir 80-an dan awal 90-an, nama kumpulan Elite bukannya asing.

Kumpulan yang pernah mendapat jolokan Spice Girl Malaysia ini cukup popular dengan lagu Trauma, Manisnya Senyumanmu, Tamparan Wanita, Potret Lama dan banyak lagi.




Baru-baru ini, ahli kumpulan ini telah kembali bergabung dan membuat persembahan istimewa menerusi lagu Manisnya Senyumanmu sempena majlis persandingan Norman Hakim, Memey Suhaiza, Abby Abadi dan Muhammad Faizal Zakaria.

Persembahan tersebut telah menjadi viral dan rata-rata peminat kumpulan ini termasuk generasi baru meminta mereka untuk kembali memeriahkan persada seni hiburan.


Salah seorang anggota kumpulan itu, Sasha Saidin yang ditemui baru-baru ini mengakui bahawa ada penerbit yang sudah berminat dengan kumpulan Elite.

Bagaimanapun ujar Sasha, projek itu tidak akan dibuat secara tergesa-gesa kerana dia mahu Elite terus kekal aktif selepas ini.

"Sejujurnya, kami memang tidak menyangka yang persembahan kami akan viral di media sosial.

"Memang terharu bila orang masih ingat kami dan generasi baru juga mengenali kami.

"Mungkin kerana semua anggota Elite masih aktif menyebabkan mereka masih mengingati dan merindui kami.


"Buat masa ini perbincangan masih dilakukan dan saya mahu Elite terus aktif selepas ini dan bukan hanya kembali dengan satu lagu dan hilang kembali," jelasnya.

Tambah Sasha, buat masa ini, ke semua anggota Elite iaitu Linda Rafar, Watie Sadali, dan Azza sedia untuk kembali beraksi, kecuali Abby yang sudah menyatakan hasrat untuk tidak lagi menyanyi.

"Kami menghormati keputusannya itu dan tidak akan bermasam muka. Malah kalau anda tonton video persembahan kami waktu itu, anda tahu bagaimana rapatnya kami.

"Tapi macam saya kata, projek comeback ini tidak boleh dibuat secara terburu-buru dan biarlah menerusi perancangan rapi kerana peminat Elite bukan hanya terhad di Kuala Lumpur sahaja, tetapi juga negeri-negeri lain," katanya.

Sepanjang penglibatan mereka dalam industri muzik Elite pernah menghasilkan empat buah album iaitu Catwalk (1996), Tamparan (1998), Idola (1999) dan Merbahaya (2000).

Dalam pada itu, berkongsi perkembangan terkininya, Sasha berkata, dia akan muncul menerusi drama digital, Mata Cinta yang disiarkan secara eksklusif di www.matacinta.com.my dan aplikasi Gempak bermula 9 Oktober lalu.

Dalam drama mini itu, dia akan berganding bersama Che Puan Juliana Evans yang memegang watak Matahari dan pelakon baharu, Julien Buteau dengan watak Ariq Anaqi.

Turut menjayakan drama mini ini termasuklah Dynas Mokhtar sebagai Lydia, Che Puan Syamim Farid (Ejay), Aush Abdul Wahid (Maru), Adery Chin (Joe) dan ramai lagi.

Selain itu, program kelolaannya, Travelling Street sudah selesai menjalani penggambaran dan bakal disiarkan tidak lama lagi.

Jelas Sasha, biarpun dia tampak kembali aktif, namun hakikatnya dia masih meletakkan anak sebagai keutamaan.

"Saya selalu beritahu orang bahawa saya adalah fulltime mom dan part time celebrity. Lagipun anaknya, Adam Aryasenna Notosoemarsono (8 tahun) hanya ada saya dan ibu saya di sini manakala ayahnya jauh.

"Jadi bila ada kelapangan barulah saya terima tawaran dan bila saya bekerja, ibu sayalah yang akan tengokkan Arya," ujarnya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.