Berita Terkini
recent

Sarah Ismail selesa jadi guru vokal

BIAR namanya kurang dikenali di landasan arus perdana, Sarah Ismail bagaimanapun selesa dengan tugas hakikinya sebagai guru vokal sejak beberapa tahun lalu.

Tambahan pula, bergelar tenaga pengajar merupakan minat graduan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ini.




Bukan itu sahaja, wanita berusia 30 tahun ini juga memandang kerjayanya sebagai jaminan hidup untuk masa hadapan.

“Ya, itulah mata pencarian utama saya. Mengajar, it’s my passion. Saya lakukannya kerana saya suka.

“Saya mahu kongsi pengalaman yang ada. Lagipun, bukan semua orang boleh mengajar.

“Jadi untuk jangka masa lama dan agar lebih dihormati saya pilih untuk mengajar. Selain itu, saya juga banyak melakukan kerja di belakang tabir,” katanya pada Media Hiburan.

Mengulas lanjut, katanya, guru vokal berfungsi untuk memelihara suara individu dalam jangka masa panjang.

“Contohnya, individu itu boleh menyanyi dalam tempoh yang sangat lama jika mempraktikkan teknik nyanyian yang baik.

“Kalau perasan, ada sesetengah orang yang suaranya seperti tak ‘sampai’, malah suaranya juga terlalu uzur,” katanya.

Rentetan itu, katanya, mempelajari vokal adalah penting sekali gus menghargai bakat yang dikurniakan ALLAH SWT.

“Jika anda penyanyi profesional, yes, ia sangat penting. Saya perlu bercakap benar, kebanyakan penyanyi hari ini adalah batu loncatan daripada laman sosial YouTube.

“Jadi, bila Tuhan dah bagi anugerah itu, bagaimana anda hargai bakat itu? Sebab itu, pentingnya untuk belajar vokal. Namun, biasanya bila dah rasa ‘suara sedap’ dan dah terkenal, ramai rasa belajar vokal itu dah tak penting.

“Padahal, sebenarnya masuk kelas vokal adalah untuk mengetahui di mana lahirnya suara itu atau sekurang-kurangnya mengenali komponen asas nyanyian,” katanya.

Bahkan, katanya, terdapat perbezaan ketara di antara seseorang yang mempelajari kelas vokal atau tidak.

“Kalau orang belajar vokal, dia hit the note tinggi, kita boleh tahu dan dengar dengan clean, bergema dan melayang saja bunyinya sebab dia tahu teknik menyanyi. Tapi, kalau orang yang tak belajar, dia akan kedengaran tengik kerana terlalu mencuba,” katanya.


Pada masa sama, pemilik nama sebenar Maisarah Ismail ini mengakui kerjayanya itu memberikan cabaran tersendiri.

“Sebagai guru vokal, instrumen yang digunakan adalah peti suara.

“Jadi, itulah bahayanya. Kalau instrumen lain, misalnya keyboard, kalau rosak boleh ganti dan beli baru. Tapi, kalau peti suara rosak, tiada gantinya. Sebab itu, sebagai penyanyi adalah perlu untuk menjaga peti suara dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Bagaimanapun, anak ketiga daripada lima beradik ini mengakui pernah mengalami kecederaan terhadap peti suaranya.

“Setiap penyanyi pasti akan melaluinya. Jika peti suara tercedera, saya biasanya akan mengambil ubat yang membantu membuat ia kebas.

“Jadi, saya perlu berehat dalam sehari dan langsung tak boleh bercakap walaupun sekadar berbisik. Ini kerana apabila udara keluar, itu maksudnya peti suara sedang ‘bekerja keras’,” katanya.

Pada masa sama, Sarah juga mengamalkan minum air putih setiap hari.

“Jujurnya, saya adalah seorang perokok. Jadi, saya hanya mengambil segelas minuman manis untuk tenaga, tapi juga akan saya habiskan sebotol air putih, setiap hari. Tapi, saya tak ada pula pantang makan apa-apa,” katanya.

Akur rezeki ALLAH SWT

Berbicara mengenai karier nyanyiannya, Sarah akur dengan laluan yang ditetapkan ALLAH SWT.

Sehingga hari ini, rezekinya untuk dikenali masih samar walaupun selepas menyertai program realiti My Starz LG musim ketiga pada 2010.

“Saya bukan tak berusaha. Tapi, saya dah berusaha sejak lebih 10 tahun lalu. Lebih-lebih lagi bila kita ada talent, dah tentu kita mahu tunjukkan.


“Tapi, semuanya juga bergantung pada rezeki. Saya sendiri tak boleh melawan rezeki kerana itu adalah kerja Tuhan,” katanya.

Sarah pernah membuat beberapa percubaan, termasuk bekerjasama dengan nama popular seperti Cat Farish, Awi Rafael dan Damien (VE), namun gagal membuahkan hasil

Sebelum itu, anak kelahiran Kuala Lumpur ini menceburi karier dalam bidang nyanyian di Restoran Cerana, Cheras.

“Sebelum masuk industri rakaman, saya memang dah ada my own customer. Walaupun tak menyerlah dalam mainstream, saya  masih lagi menerima tawaran persembahan daripada private function,” katanya yang menghasilkan single terbaru, Percaya. 

Anak kelahiran Kuala Lumpur ini juga pernah menjadi guru vokal untuk beberapa selebriti popular seperti Amir AF, Kaka azraf, Sufian Suhaimi, Diana Danielle, Noh Hujan, Liyana Jasmay dan Arja Lee.

“Saya akan terus menjadi guru vokal dan penglibatan saya sebagai penyanyi tidak menghalang untuk terus mengajar teknik nyanyian yang betul kepada artis lain.

"Bagi saya, ia secara tidak langsung juga membantu melatih suara saya sendiri agar menjadi lebih baik,” kata artis naungan E Studios Management Sdn Bhd ini.

Kini, Sarah bakal terbabit sebagai juri bagi program  Sayembara Nyanyian Patriotik Selangor 2017 yang dianjurkan Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam. yang akan berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 11 November depan.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.