Berita Terkini
recent

Sara teruskan usaha martabat wanita

MUSIM kedua Clever Girl Malaysia (CGM) sudah pun melabuhkan tirainya malam kelmarin dan menyaksikan peserta yang mewakili negeri Perak, Sara Amelia Muhammad Bernard, 25, muncul juara program berkonsep kuiz sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi.

Meskipun program ini berdepan beberapa kontroversi sejak penyingkiran peserta dari Pulau Pinang, namun ia tidak sedikit pun menjejaskan semangat Sara untuk terus berjuang dan mencapai misinya untuk membuktikan wanita cantik bukan bimbo (kurang bijak).

"Sejujurnya, saya masih lagi speechless, teruja, gembira dan dalam masa yang sama bersyukur tidak terhingga kerana selepas segala usaha yang saya lakukan membuahkan hasil.


"Terima kasih juga pada mereka yang setia menyokong saya dari mula hingga kini. Begitu juga dengan mentor kami, Datin Sharifah Shawati Syed Mohd yang banyak memberi tunjuk ajar dan nasihat.


"Apa yang boleh saya katakan, keyakinan diri saya selepas menyertai program ini meningkat ke satu tahap lebih baik, di mana saya kini lebih berani, yakin dan pandai bergaya berbanding sebelum ini," ujarnya ketika ditemui selepas berakhirnya program yang bersiaran secara langsung dari studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Tambah Sara yang juga lepasan Asasi Psikologi Ekonomi & Matematik, dia banyak membaca dan menguji mindanya sendiri setiap kali sebelum menghadapi pertandingan ini setiap minggu.

"Ada beberapa perkara yang saya tahu tapi tak ingat. Jadi untuk mengasah semula fikiran dan melengkapkan ilmu, saya banyak luangkan masa untuk membaca, ingat info-info penting dan bermain aplikasi yang boleh menguji minda.

"Saya juga cuba mereka dan mencari bagaimana soalan yang mungkin akan ditanyakan hos," katanya.

Ditanya penerimaan sesetengah penonton yang melihat program ini tidak sepenuhnya menguji kepintaran dan kebijaksanaan para peserta, Sara berpendapat, mereka harus berdiri di atas pentas dan melaluinya sendiri.

"Saya rasa mereka yang memperlekehkan patut sertai dan rasai sendiri. Kami di atas pentas bukan hanya perlu berdepan dengan soalan yang mencabar, tapi berdepan dengan kamera dan aksi kami dirakamkan dan mungkin guru-guru kami ada yang menonton.

"Bila ada ketikanya tidak dapat menjawab, ia agak mengecewakan kerana kenapa kita tak tahu tentang sesuatu fakta itu," jelasnya.

Sara berkata, dengan wang kemenangan yang diterima, dia akan menyumbangkan sedikit kepada badan kebajikan dan dia mahu memulakan apa sahaja aktiviti yang berkaitan dengan wanita dan mengangkat serta memartabatkan lagi wanita selepas ini.

"Saya tahu selepas ini juga saya perlu berdepan dengan mereka yang membenci diri saya. Tapi saya tak kisah kerana bagi saya, mereka yang membenci saya  menjadi motivasi untuk saya," katanya.

Selain Sara, tiga dari peserta yang layak ke pusingan akhir adalah Fadila Zuraida Mohd Nor, 25, (mahasiswi Pendidikan) dari Negeri Sembilan, Hani Nazrina Hanizar, 25, (Usahawan dan graduan Sains Aktuari) dari Perlis dan Shazana Kamarzaman, 24, (Mahasiswi Perubatan) dari Selangor.

Fadila diumum naib juara, terima wang tunai RM10,000

Program yang disiarkan sejak 4 Ogos lalu selama 10 minggu diwakili 13 peserta kesemuanya yang mewakili setiap negeri di negara ini dan setiap minggu menyaksikan episod penyingkiran bagi peserta yang mendapat markah terendah.

Malah rancangan itu juga tidak menggunakan sistem undian baik khidmat pesanan ringkas (SMS) mahupun juri profesional, sebaliknya setiap peserta CGM dinilai berdasarkan prestasi dan kebolehan mereka untuk menjawab soalan kuiz berdasarkan kepintaran dan pengetahuan semasa pada hari pertandingan setiap minggu.


Sedia teruskan

Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 & TV9, Zurina Othman berkata, pihaknya kini sedang membuat perancangan program untuk 2018 serta 2019 dan program CGM masih dalam pertimbangan untuk diteruskan.

Katanya, biarpun berdepan dengan kontroversi yang tidak dijangka, namun program ini masih mendapat sambutan dan reaksi positif daripada penonton.

"Kita tidak nafikan ada menerima komen negatif dan dalam mana-mana program sekali pun, pasti akan ada pelbagai komen.

"Namun kita akan lihat komen-komen ini termasuk yang negatif dari sudut positif. Contohnya sekiranya ada kekurangan, kita akan perbaiki lagi.

"Dan sekiranya ia berbaloi untuk pelanggan kami, kami sedia untuk teruskan program ini," jelasnya.

Tambah Zurina, biarpun ada pihak mempertikaikan ketelusan program ini, namun mereka masih berpegang pada integriti dan menolak budaya favouritism dalam program terbitan mereka.

"Tidak dinafikan sukar untuk membuktikan bahawa kami telus dan tidak ada favouritism dalam pertandingan.

"Namun seperti saya katakan tadi, setiap kekurangan akan kita perbaiki pada masa akan datang dan kami tetap utamakan integriti dalam setiap program terbitan kami," ulasnya.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.