Berita Terkini
recent

Sara 'Clever Girl' Tak Peduli Persepsi Negatif

JUARA Clever Girl Malaysia musim kedua iaitu Sara tidak terkesan dengan pandangan negatif masyarakat yang mempersoalkan ketelusan program tersebut akibat terpalit dengan beberapa kontroversi sebelum ini.

Sebaliknya kata pemilik nama Sara Amelia Muhammad Bernard, 25, ini, kemenangan itu adalah hasil usaha kerasnya sepanjang bertanding sehingga bergelar juara.

"Alhamdulillah, akhirnya usaha saya berbaloi kerana sepanjang program ini berlangsung saya membuat persediaan rapi termasuk mengulang kaji.

"Kepada yang memberi pandangan negatif, cuba mereka berada di pentas itu, adakah mereka dapat menjawab soalan-soalan diberikan?





"Tekanan berada dalam Clever Girl Malaysia sangat tinggi dan saya sendiri susah nak maafkan diri sendiri jika tidak dapat jawab soalan yang mudah," katanya .

Peserta yang mewakili negeri Perak itu diumumkan sebagai pemenang pada pertandingan akhir yang bersiaran secara langsung pada malam Jumaat lalu.

Sara menewaskan tiga peserta lain iaitu Fadila (Negeri Sembilan), Shazana (Selangor) dan Hani (Perlis) sekali gus membolot wang tunai RM100,000.

Berkelulusan dalam bidang Asasi Psikologi Ekonomi dan Matematik, Sara berkata, dia merancang untuk menyambung pengajiannya selain bergiat aktif dalam program yang memperkasakan wanita.


"Saya akan menyambung pengajian selain bergiat aktif dalam program kewanitaan, sukan dan bidang seni," katanya.

Terdahulu program itu mencetuskan kontroversi minggu lalu apabila seorang peserta dari Selangor iaitu Shazana menjawab sebelum soalan habis dibacakan.

Video itu menjadi tular dikalangan netizan yang marah dan mempersoalkan ketelusan program uji minda itu.

Dalam pada itu, penerbit Clever Girl Malaysia, Shazreena Mohd Kassim menafikan dakwaan terdapat pilih kasih dan soalan bocor sepanjang program berlangsung.


Kata Shazreena, pihaknya sentiasa mengutamakan ketelusan dan mempunyai ahli jawatankuasa dalam menyediakan soalan.

"Kami tidak perlu untuk menjelaskan dakwaan tidak berasas itu kerana kami sentiasa mengutamakan integriti dalam program kami.

"Tiada pilih kasih atau soalan bocor seperti didakwa, seperti malam ini, soalan dipilih oleh peserta dan kami sendiri tidak tahu soalan mereka pilih," ujarnya.

Tambah Shazreena, pihaknya akan mengambil pandangan negatif penonton untuk memperbaiki program itu pada masa akan datang.



Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.