Berita Terkini
recent

Saling berebut jadi heroin

Pada 2 Oktober lalu, kita kehilangan seorang lagi bintang seni dalam industri tanah air apabila pelakon popular era 1970-an, Nozie Nani meninggal dunia jam 8.30 malam di kediamannya di Batu Pahat, Johor.

Nozie yang mula dikenali melalui filem Permintaan Terakhir pada 1975, menghembuskan nafas terakhir pada usia 66 tahun di sisi anak, Nizad Norman, 34, dan menantu selepas bertarung dengan pelbagai penyakit seperti darah tinggi, kencing manis, jantung dan terbaharu, disahkan menghidap kanser rahim tahap pertama, bulan lalu.

Nozie atau Noziah Nani dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Semai, Batu Pahat jam 10 pagi pada 3 Oktober lalu.

Insan seni yang benar-benar terkesan dengan berita kematian itu ialah pelakon Uji Rashid. Hubungan dua bintang Permintaan Terakhir ini sangat menarik.


Kalau ia berlaku dalam kalangan pelakon ketika ini, tidak mustahil bertarik rambut atau perang bibir dan berdendam. Sebaliknya antara Uji dan Nozie, persahabatan mereka kekal hingga ke akhir hayat.

Cerita Uji, ketika sama-sama menjalani uji bakat filem Permintaan Terakhir, Nozie sangat berharap dipilih menjadi pelakon utama. Pada mulanya namanya diletakkan di atas tetapi keesokan hari berubah dengan nama Uji pula kerana yang membuat keputusan ialah produser Shaw Brothers.


NOZIE kehilangan kaki kerana penyakit kencing manis.
Nozie terpaksa terima hakikat dirinya menjadi pelakon nombor dua. Dalam filem arahan Datuk Jamil Sulong itu, Uji menjadi kakak (Salina/Lynn) dan Nozie sebagai adik, Rohani. Dua beradik tiri ini bersengketa sejak kecil hinggalah dewasa termasuklah berebutkan Iskandar (Sony Abdullah).

Bukan hanya itu. Untuk filem Semalam Di Malaysia, kata Uji, dia terima lamaran ketika menghadiri Festival Filem Asia Pasifik ke-21 di Jakarta pada 1975. Uji ditawarkan dengan bayaran lumayan RM35,000 dan diberi skrip serta lagu yang akan dinyanyikan dalam filem itu.

Bagaimanapun, apabila pulang ke Kuala Lumpur, dia mendapat tahu Shaw Brothers menggantikan tempatnya dengan Nozie. Anak bongsu daripada 11 beradik ini juga menandatangani kontrak dengan Shaw Brothers untuk tujuh filem bersama Yusof Haslam (Datuk) dan Sony Abdullah tetapi Uji enggan terikat.

Bagaimanapun, Nozie hanya sempat berlakon empat filem dan turut berlakon dalam Jiwa Remaja bersama Uji dengan watak sangat kecil. Filem lain, Cinta dan Lagu.

Apabila berkahwin dengan Mohd Nazamuddin Husain, Nozie tidak lagi berlakon dan menumpukan masanya terhadap keluarga. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga anak - Nizad Nazril, 35, Nizad Norman, dan Nabila Najat Mohd Nazamuddin, 32.

Pada 2003, suaminya meninggal dunia. Selepas itu Nozie diuji dan terus diuji dengan satu demi satu penyakit. Kencing manis yang dideritai menyebabkan ibu jari kaki dipotong, kemudian pada 2013, Nozie menjalani pembedahan memotong kaki kirinya.

Sebulan lalu, disahkan pula menghidap kanser rahim tahap pertama.

Tatapan terakhir

Walaupun jarang bertemu kerana seorang di selatan dan seorang lagi di Kuala Lumpur, Uji akui hanya telefon menjadi penghubung mereka. Akhir-akhir ini Nozie sering menghubunginya dan menceritakan derita dan penyakit dihidapi.

Masih terngiang-ngiang di telinganya luahan hati sahabatnya menangis setiap kali bercakap dengannya dan Uji cuba menggembirakan hati sahabatnya dengan mengatakan penyakitnya berat mungkin untuk memberi peluang kepadanya untuk mudah pulang ke syurga.

Sahabat yang dikenali seorang yang lincah tetapi kini kehilangan sebelah kaki, tentu amat terpana dengan dugaan itu.

Ramadan lalu, pada 18 Jun, ada peluang mereka untuk bertemu kerana Nozie sanggup ke Kuala Lumpur untuk menghadiri majlis Buka Puasa bersama Perdana Menteri di Seri Perdana.

Dengan ramainya insan seni yang hadir, dengan batas pergerakannya berkerusi roda, walaupun berhubung melalui WhatsApp mengenai kedudukan meja mereka, tetapi kalau sudah tiada rezeki, sudah dekat pun tiada peluang. Ternyata tiada rezeki untuk mereka berjumpa.


UJI di pusara sahabatnya.
Kali terakhir bercakap dengannya, Nozie meminta ampun dan maaf daripada Uji serta minta dihalalkan makan minum.

Pada 1 Oktober lalu, pesanan daripada rakannya sungguh meruntun jiwanya. Bukan Nozie yang menghantar pesanan tetapi anaknya memaklumkan khabar duka pemergian Nozie Nani menemui Yang Maha Esa.

Betapa hatinya meronta ingin menatap kali terakhir wajah sahabatnya itu tetapi apakan daya, dirinya sendiri serba kekurangan.

Mujur seorang sahabat, Kit Rushuhaimi dan kawannya sedia membawanya ke Batu Pahat pada 2 Oktober lalu untuk menghadiri majlis pengebumian sahabatnya itu.

Mereka bertolak dari Kuala Lumpur jam 6 pagi, sempat tiba sebelum jenazah dikebumikan. Uji sempat menatap wajah sahabatnya buat kali terakhir.

Pesan Uji kepada anak-anak sahabatnya, jagalah nama baik ibu kalian kerana Nozie Nani orang yang baik. Harapan Uji, anak-anak Nozie bersatu dan sentiasa bersama dalam suka dan duka menempuh dugaan dan ujian.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.