Berita Terkini
recent

Remy Ishak sanggup berkorban demi Tun Fatimah

SIBUK menguruskan kerjaya seninya yang kini semakin rancak hari ke hari, pelakon Remy Ishak mengakui terpaksa menolak banyak tawaran kerana terikat dengan kerja-kerja yang telah dipersetujui lebih awal.

Baru sahaja selesai menjalani filem terbarunya, Pulang, arahan Kabir Bhatia, kini Remy sibuk pula di lokasi penggambaran drama bersiri, Kekasih Paksa Rela yang bakal menghiasi slot Akasia di TV3 tidak lama lagi.

Bagaimanapun, aktor yang mula dikenali menerusi filem Anak Halal ini mengakui sukar menolak pelawaan Istana Budaya kembali beraksi di pentas teater Tun Fatimah yang bakal berlangsung pada 20 dan 21 Oktober depan.


Apatah lagi pementasan ini bakal menyaksikan dia kembali berganding dengan pasangan serasinya, Maya Karin dan pernah sepentas menerusi teater Natrah selain beberapa filem.



“Kalau lihat jadual kerja memang sukar saya terima apa-apa tawaran buat masa ini, tapi demi teater Tun Fatimah yang bakal dipentaskan di negeri kelahiran saya iaitu di Panggung Bangsawan Melaka, saya terima tawaran ini.

“Selain itu ia sebagai memenuhi permintaan peminat yang sudah lama mahu melihat saya kembali bergandingan dengan Maya dan mungkin inilah naskhah terbaik yang dapat menyatukan kami di pentas semula," jelas Remy yang kali terakhir muncul di pentas teater menerusi Muzikal Randai Cinduomato (2016).

Menyifatkan Maya sebagai pelakon wanita yang sangat komited dengan kerjanya, Remy berpendapat satu kerugian apabila menolak kolaborasi berkenaan.

Teater ala bangsawan anjuran Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI) dengan kerjasama Istana Budaya dan Briged Seni Melaka ini menampilkan Remy memegang watak sebagai Sultan Melaka yang penuh dengan karisma.

Walaupun sebelum ini pernah menjayakan pementasan teater klasik ala bangsawan namun kata Remy, wataknya dalam Tun Fatimah ini agak berbeza.

“Kalau dalam Cinduomato dan Takhta 3 Ratu saya menjayakan watak seorang pahlawan yang tampil dengan aksi silat, kali ini saya sebagai Sultan perlu tampil dengan yang penuh karisma di depan penonton dan semestinya ia bukan perkara mudah,” katanya yang kini sedang giat melakukan latihan.

Belum ada perancangan

Biarpun sebelum ini hanya beraksi di pentas besar Istana Budaya, Remy tidak melihat Panggung Bangsawan Melaka yang berskala lebih kecil itu sebagai masalah untuk memberikan yang terbaik dalam persembahannya.

“Dari segi ruang dan teknologi, saya akui Istana Budaya memberi lebih kepuasan. Namun bagi saya apa yang lebih penting dalam sesebuah pementasan itu adalah inti pati naskhah tersebut selain persembahan yang baik daripada pelakon untuk khalayak penonton.


Sebagai anak jati Melaka, pelakon ini turut berharap penglibatannya dapat menyumbang sesuatu kepada negeri terutamanya menarik penonton ke Panggung Bangsawan Melaka.

Selain aktif dalam bidang lakonan, Remy sebelum ini juga dilihat berjinak-jinak dengan bidang pengacaraan apabila tampil mengendalikan sebuah program travelog, Hala 3 terbitan Astro.

“Saya minat juga buat program, tetapi untuk konsep yang bersesuaian dengan diri sayalah seperti travelog yang pernah saya buat dalam program Hala 3 sebelum ini.

“Selepas program itu saya ada juga menerima tawaran lain, tetapi memandangkan komitmen saya dalam bidang lakonan begitu tinggi, agak sukar untuk saya buat benda lain ketika ini,” jelasnya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.