Berita Terkini
recent

Rapuh ceritakan keperitan Nastia

Nama Nastia mungkin kurang dikenali berbanding lagu mereka, Rapuh. Tapi empat anak muda menganggotai kumpulan Nastia, Leo Azman (vokal), Rudy Iskandar (gitar), Zack Zainal (keyboard) dan Adzim Shafi (bass) tidak kisah lagu lebih popular berbanding diri mereka.

Malah mereka bangga apabila lagu Rapuh sering diputarkan di radio dan menjadi siulan ramai. Mereka tidak menyangka lagu itu mendapat tempat di hati pendengar.

Kata Leo, mereka kini giat turun padang untuk mempromosikan Rapuh dan sering mengadakan persembahan skala kecil di mana-mana pusat beli-belah dan universiti di seluruh negara.

“Apabila berpeluang mengadakan persembahan, saya pernah mengacukan mikrofon ke arah penonton dan terkejut apabila ramai yang sama-sama menyanyikan lagu itu dengan lirik yang betul.



“Barulah kami tahu lagu Rapuh sebenarnya berjaya menambat hati umum. Kami memang tidak sangka lagu itu mendapat sambutan baik. Sepanjang mengadakan promosi lagu, rata-rata peminat dapat menyanyikan lagu itu dengan lirik yang betul.

“Rupa-rupanya mereka lebih dekat dengan lagu itu berbanding kami yang menyanyikan lagu itu. Ramai juga yang terkejut apabila tahu kami adalah penyanyi lagu Rapuh,” katanya.

Leo juga akui ada yang beranggapan lagu itu dari penyanyi Indonesia dan mereka juga tidak kisah dianggap sebagai kumpulan dari negara itu.

Kini bernaung di bawah syarikat rakaman Faithful Music milik penyanyi terkenal, Faizal Tahir, Leo terharu melihat sendiri penerimaan orang ramai terhadap lagu mereka. Sambutan itu memberi semangat baru buat mereka.

Mula bergiat dalam industri muzik sejak 2011, Rudi akui mereka pernah berhadapan dengan zaman ‘gelap’ dan tiada wang untuk menyara kehidupan. Mereka pernah tidak cukup makan gara-gara mahu berjimat untuk menghasilkan karya bermutu.

“Kami pernah beli sekeping roti canai dan dikongsikan bersama. Pernah juga membeli nasi putih yang hanya diletakkan kuah tanpa lauk. Keropok ikan turut menjadi santapan kami selama tiga hari berturut-turut.

“Ini adalah pengalaman kami pada awal pembabitan. Syukur keluarga masih menyokong. Mereka faham, untuk berjaya dalam bidang muzik akan mengambil masa lama,” katanya.

Pernah muncul dengan album tapi segala harapan mereka punah apabila produk dihasilkan tidak sama seperti yang diimpikan dan gagal menarik perhatian.

“Segala usaha keras sudah diberikan untuk pembikinan album kami. Malah harapan kami cukup tinggi album ini menjadi pembuka rezeki baru buat kami tetapi yang terjadi sebaliknya.

“Tipulah kalau waktu itu tidak terlintas untuk putus asa. Apatah lagi ada individu yang muncul hanya memberikan kata-kata negatif. Tetapi, kami kuatkan semangat,” katanya.

Rudi akui sinar buat Nastia mula dilihat apabila Adibah Noor bercakap mengenai lagu mereka di Twitter. Ada beberapa kali penyanyi itu menyebut Nastia dan akhirnya menarik perhatian AG Coco ketika itu.

“Ketika itu kami tidak tahu cara untuk hubungi AG kerana telefon bimbit pun tidak ada kredit inikan pula wang untuk ke pusat siber.

“Sebaik saja mendapat cara hubungi dia, kami korbankan wang terakhir untuk menambah nilai telefon. Syukur pertemuan itu membuahkan hasil,” katanya.

Mengimbas kembali detik keperitan pada 2012 dalam menghasilkan album mini yang tidak ‘menjadi’, mereka kini boleh bernafas lega kerana melihat masih ada ruang untuk terus berkarya.

Enam tahun dalam industri muzik bukanlah tempoh yang singkat tetapi masih menganggap diri mereka seperti kanak-kanak yang baru belajar mengenai kehidupan.

Kira-kira setahun hilang arah, Nastia akhirnya bangkit menerusi album Esok Belum Tiba. Sembilan lagu yang dimuatkan dalam buah tangan mereka itu menceritakan kepahitan yang pernah mereka rasai.

Kata Rudi, Esok Belum Tiba adalah visual mereka mengenai kisah lalu. Ia adalah inspirasi daripada ‘kegelapan’ yang pernah mereka lalui sepanjang 2012.

“Rapuh juga adalah mengenai kehidupan kami sebagai pemuzik. Kalau orang tanya kenapa dalam tempoh enam tahun kami belum mencapai populariti seperti penyanyi lain, jawapan kami semua itu kerana esok belum tiba. Rezeki hanya setakat ini.

“Kami yakin Allah membenarkan kami melalui susah payah itu untuk mengajar kami lebih kreatif dalam penghasilan lagu dan menghargai serta bersyukur dengan setiap rezeki yang diberikan,” katanya.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.