Berita Terkini
recent

Rakan baru Cheek-e

Projek pencarian rakan maskot Astro Ceria, Cheek-e berakhir dengan penemuan empat maskot comel iaitu Ivy, Teeny, Tydee dan Zanee menerusi pertandingan melukis pada Mei lalu.

Kini, barisan maskot rasmi Astro Ceria sudah lengkap dengan gabungan lima sahabat ini yang didedikasikan khas untuk penonton cilik saluran itu.

Diperkenalkan sebagai Cheek-e’s Buddies, empat maskot baru itu dicipta murid sekolah rendah Song Joe Han yang menghasilkan Ivy, Nurul Hannah Najihah Mohamad Kamal (Teeny), Lim Jing Xiang (Tydee) dan pelajar tingkatan satu, Wan Mohamad Khairul Asyraf Wan Ahmad (Zanee).

Setiap pemenang membawa pulang hadiah Samsung Galaxy Tab A 8.0, S-Pen 16GB LTE berserta sijil penghargaan.



Mengulas projek pencarian rakan Cheek-e, Pengurus Saluran Astro Ceria, Marissa Hanafi berkata, pihaknya menerima lebih 30,000 penyertaan dalam tempoh dua minggu pertandingan Cipta Kawan Cheek-e.

“Jumlah itu memang luar biasa, sekali gus membuktikan betapa besarnya pengaruh Cheek-e terhadap kanak-kanak.

“Setiap maskot dicipta pemenang mempunyai personaliti berbeza. Kami yakin kepelbagaian karakter ditampilkan setiap maskot dapat menarik perhatian penonton cilik Astro Ceria,” katanya.

Menurutnya, pertandingan dengan kolaborasi bersama 20 sekolah di seluruh negara itu mencungkil bakat seni lukisan dalam kalangan pelajar.

“Pertandingan ini memberi kebebasan kepada pelajar untuk berimaginasi dan pada masa sama membantu meningkatkan keyakinan diri.

“Kami berharap kerjasama ini akan terus terjalin pada masa akan datang menerusi aktiviti yang bermanfaat dan menghiburkan untuk pelajar,” katanya.

Susulan pengenalan Cheek-e’s Buddies, Astro Ceria akan menganjurkan pertandingan tarian Jom Menari Bersama Cheek-e’s Buddies! pada 3 hingga 31 Oktober ini untuk kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun.

Peserta perlu meniru tarian Cheek-e’s Buddies yang boleh disaksikan di laman YouTube Cheeke dan memuat naik rakaman tarian itu di Instagram dengan bersertakan kata kunci #cheekesbuddies dan tag akaun @cheeke_my.

Selain itu, peserta juga boleh merujuk tutorial video pelakon Wafiy dan Erissa meniru gerak tari lima maskot berkenaan di Instagram mereka.

Maklumat lanjut mengenai pertandingan ini boleh didapati di laman web www.cheek-e.com.
Powered by Blogger.