Berita Terkini
recent

Raja Ilya Dituduh Menipu Dapat Tawaran Marvel

Baru-baru ini tular di media sosial mengatakan pelakon drama Tuan Anas Mikael, Raja Ilya telah didakwa sengaja menipu untuk meraih publisiti murahan dengan mengaku bakal membintangi filem Marvel terbitan Hollywood.

Lebih-lebih lagi tiada sebarang laman portal luar negara menulis mengenai pembabitan artis Malaysia dengan filem aksi itu.

Raja Ilya atau nama penuh Raja Ramilah Begum Raja Mohammad, 32, itu juga dilihat seolah-olah mengelak daripada memberi judul filem berkenaan dan gambaran jelas mengenai tawaran yang diterimanya.

Bagaimanapun, dia yang ditemui sebuah portal online berkata dia tidak begitu terkesan dengan tuduhan sedemikian.

Malah Raja Ilya menganggap tuduhan itu hanya akan menjejaskan pihak yang melemparkan tohmahan ke atas dirinya.

“Perkara ini ibarat cucuk mata orang tetapi terkena mata sendiri. Kalau anda ingin menuduh saya penipu, maka baiklah, bye bye saja,” katanya yang jelas enggan melayan kerenah pihak yang tidak senang dengan dirinya itu.

Meskipun dituduh mereka cerita, Raja Ilya tidak cepat melatah, malah, yakin suatu hari nanti dapat membuktikan anggapan ini salah. Dia juga berharap peminatnya dapat menunggu dengan penuh sabar.
“Hanya perlu tunggu dan masa akan membuktikan sama ada saya salah atau pun tidak,” katanya.
Raja Ilya juga pernah mencetuskan kontroversi apabila dikatakan sanggup berdepan risiko dibedah semata-mata ingin mengubah bentuk badannya.

Bagaimana pun, Raja Ilya berkata prosedur akan dijalankan cuma menyambung proses membuang ketulan pada badan yang dihidapi sejak setahun lalu bukannya untuk kecantikan.

Raja Ilya juga memberitahu akan meluangkan masa bersenam untuk mempersediakan fizikal bagi menjayakan watak dalam filem Marvel tersebut.

“Selepas itu saya akan memulakan rutin latihan senaman bagi proses membaik pulih badan sebelum berangkat ke luar negara bagi menjalani penggambaran filem Marvel itu,” katanya yang hanya memberitahu penggambaran bakal dijalankan pada awal Januari tahun depan.
Powered by Blogger.