Berita Terkini
recent

Rahsia hati Serina .

Tiada siapa yang mahu berkahwin semata-mata untuk bercerai, namun jika perpisahan itu berlaku juga, terimalah dengan reda dan hati terbuka. Itulah ketentuan hidup yang dilalui Serina Redzuawan, 34, yang terpaksa melepaskan status isteri apabila bercerai dengan bekas suaminya, Salahuddin Ghafar, 40, pada awal Ogos lalu. Mula membina kehidupan sendiri, Serina mengakui sebaik saja terlafaznya cerai, dia berasa hidupnya kosong, namun, pada masa sama dia berasa lega kerana segala bebanan perasaannya sudah pun ‘terlepas’.

“Biarlah cerita punca perceraian kami, saya simpan saja sebagai rahsia hati saya. Jika sudah begini pengakhiran rumah tangga saya, tiada apa yang perlu dikesali kerana yakin pasti ada perkara yang lebih baik menanti.


“Ramai juga yang musykil dan hairan kenapa saya ‘tinggalkan’ rumah yang kami beli bersama dengan membiarkan bekas suami terus menetap di sana dengan anak.

“Perkara itupun tak perlulah saya beritahu kerana dalam perkara ini, saya mengutamakan kebahagiaan dan keselesaan anak,” katanya.




Serina dan Salahuddin dikurniakan dua cahaya mata, Tristan Tareef O’luanaigh, 6, dan Isabella Safiyya O’luanaigh, 5.

Cerita Serina lagi, meskipun sudah tinggal berasingan, dia masih menjalankan tanggungjawabnya sebagai ibu seperti biasa.

“Tiada halangan dan tiada ketetapan waktu untuk saya bersama anak. Apabila Salahuddin keluar bekerja, saya akan ke rumah itu menjaga mereka dan balik apabila papa mereka pulang.

“Begitu juga, jika Salahuddin ada urusan di luar negara, saya akan menjaga Tristan dan Isabella. Saya tak mahu anak-anak berasa terabai akibat perpisahan itu,” katanya.

Namun, ada ketika dia berasa kesunyian. Jadi sekarang dia sibukkan diri dengan melakukan pelbagai aktiviti bagi mengisi masa terluang.

“Ada saja yang nak berkawan, berkenalan dan nak meminang, tetapi masih awal lagi untuk saya kembali bersuami. Tunggu dululah, saya mahu relaks dulu.

“Kalau ada jodoh nanti, saya mahukan seorang calon suami yang dapat membimbing dan menjadi imam saya.

“Soal teruna, duda atau suami orang, pilihan utama ialah orang yang bertanggungjawab,” katanya.

Menurut Serina, ada juga ‘mulut nakal’ yang bertanya, adakah dia mahu bersuamikan lelaki ‘mat salih” lagi?

“Saya tidak memilih bangsa untuk dijadikan suami. Apa yang diutamakan, dia seorang yang baik, beragama dan beriman. Selebihnya, saya serahkan kepada Allah SWT,” katanya.

Beralih kepada topik lain, Serina yang berdikari sejak remaja lagi juga aktif dalam pelbagai cabang perniagaan termasuk berniaga makanan iaitu Serina Simply Delicious Char Kway Teow menggunakan van. Dia juga membuka ruang perniagaan kepada mereka yang berminat untuk memfrancaiskan perniagaannya itu.

Serina ditemui pada majlis penyampaian Watikah dan Pelantikan Pegawai Pertahanan Awam dari Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang diadakan di Akademi Latihan Pertahanan Awam Malaysia, Bangi, baru-baru ini.

Serina dan beberapa artis lagi dari Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) termasuk Hairi Kool, Zack Kool dan Musli Ramli, ditauliahkan pangkat Kapten.

“Saya tergerak hati nak menyertai APM kerana kebelakangan ini berlaku banyak tragedi termasuk kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah. Tragedi itu amat menyayat hati dan untuk turun membantu mangsa tragedi, kita mesti ada kepakaran.

“Oleh itu, saya dan rakan artis dari Seniman menjalani latihan dengan APM. Diharapkan kami dapat memberikan sedikit bantuan sekiranya berlaku kebakaran, kemalangan atau banjir.

“Ia kerja sukarela kami untuk masyarakat,” katanya.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.