Berita Terkini
recent

Puas teroka Afrika Selatan SASHA

Selain lakonan dan nyanyian, Sasha Saidin, 41, juga meminati bidang pengacaraan sejak dulu.

Oleh itu, tidak hairan anak seni berdarah kacukan Melayu-Inggeris ini sukar menolak tawaran menjayakan program travelog dan berpeluang meneroka pelbagai destinasi menarik dan bersejarah di Afrika Selatan pada Ramadan lalu.

“Saya anggap peluang menjayakan program ini sebagai rezeki. Maklumlah, saya ditawarkan dua program yang membabitkan 13 episod sekali gus iaitu Traveller’s Treat dan Design Capital untuk saluran RTM.

“Ini kunjungan pertama ke Afrika Selatan dan saya turut ditemani seorang lagi hos untuk program sukan ekstrem.

“Dalam program Traveller’s Treat, saya meninjau lokasi pelancongan menarik termasuk makanan halal di sana.

“Manakala dalam program Design Capital ia memaparkan keindahan seni bina unik dan bangunan bersejarah sekitar Capetown dan Johannesburg,” katanya.

Sasha berkata, dia turut menimba pengalaman menarik dan berharga sepanjang penggambaran di sana.

“Saya sudah melancong ke pelbagai negara termasuk Indonesia dan Nigeria, tetapi pengalaman di bumi Afrika Selatan sangat unik serta berbeza.

“Saya juga berpeluang menunaikan solat Tarawih di Masjid Capetown selain menginap di hotel di bandar Soweto yang sangat besar, tetapi sunyi serta menyeramkan.

“Tidak ketinggalan, saya dapat menemu bual arkitek terkenal di sana,” katanya.

Mengenai lakonan pula, kata Sasha, dia ditawarkan membintangi filem sejarah pada hujung tahun lalu, tetapi tidak dapat memberikan komitmen.

“Saya sudah dapat skrip untuk filem itu, tetapi tidak dapat melakukannya kerana jadual bertindih dengan penggambaran program travelog di Afrika Selatan,” katanya.

Kali terakhir Sasha berlakon ialah menerusi filem Mat Moto Otai.

Projek bersama Elite

Dalam perkembangan lain, Sasha merancang membuat kemunculan semula bersama kumpulan Elite yang baru meraikan ulang tahun mereka ke-21 pada 6 Mei lalu.

“Terus terang, saya berasa rindu untuk beraksi di pentas bersama Elite.

“Ada penerbit berminat untuk buat projek bersama Elite.

“Namun, hasil perbincangan hanya Abby tidak mahu terbabit dengan projek baru Elite nanti.

“Setakat ini, anggota lain iaitu Linda, Watie dan Azza tidak ada masalah.

“Mungkin kami akan muncul dengan satu atau dua lagu baru nanti,” katanya.

Beralih sisi peribadinya pula, kata Sasha, keutamaannya kini adalah anak tunggalnya, Adam Aryasenna Notosoemarsono (Arya), 8.

“Sebagai ibu tunggal, saya bekerja keras untuk memberikan yang terbaik buat masa depan Arya.

“Maklumlah, bekas suami, Salyo Priyanto menetap di Indonesia dan hanya emak yang membantu menjaga Arya bila saya keluar bekerja,” katanya.

Mengulas perkembangan Arya, Sasha gembira dengan prestasi pelajaran anaknya di sekolah.

“Saya tidak mampu untuk menghantar Arya belajar di sekolah swasta, sebab itu saya memasukkannya ke sekolah kebangsaan.

“Pada mulanya, Arya tidak fasih berbahasa Malaysia, tetapi sekarang dia antara pelajar yang cemerlang di sekolahnya,” katanya.
Powered by Blogger.