Berita Terkini
recent

Poe, Zainal kembali 'berraggae'

Trend penyanyi lama membuat kemunculan semula selepas kejayaan program realiti Gegar Vaganza menambahkan kerancakan dunia seni suara negara.

Tidak dinafikan penerimaan peminat terhadap artis otai seperti Zarul Umbrella, Ayai Ilusi dan Ameng Spring mendorong lebih ramai artis yang sekian lama menyepi diri kembali beraksi.

Hakikat ini diakui Poe, penyanyi raggae yang terkenal dengan lagu kritikan sosial sekitar 80-an sama ada secara solo atau berganding dengan Zainal melalui kumpulan Rampa.

Sekian lama membawa haluan seni masing-masing, Poe dan Zainal kini bakal meraikan ulang tahun kelahiran Rampa yang ke-33 pada tahun ini.

Langkah pertama kelahiran semula Rampa akan dimulakan dengan persembahan pada acara pembukaan serta penutup Karnival Jelajah Kembara Merentasi Masa di Langkawi pada 23 November hingga 2 Disember ini.

Menurut Poe atau nama sebenarnya Fauzi Ahmad, idea untuk kembali menghidupkan Rampa sudah lama ada terutama selepas melihat penerimaan peminat terhadap penyanyi atau kumpulan muzik lama.

Namun, keadaan kesihatan Zainal yang mengalami masalah saraf menyebabkan Poe terpaksa menangguhkan hasrat itu.

“Sebenarnya sudah lama saya terfikir untuk buat ‘comeback’. Walaupun sudah lama saya dan Zainal tidak membuat persembahan bersama, masih ramai peminat ingat kami.

“Setiap kali saya membuat persembahan, peminat akan tanya mengenai Rampa serta meminta menyanyikan lagu kumpulan ini.

“Saya yakin Rampa masih ada pengikut malah melihat kepada penerimaan peminat terhadap penyanyi lama yang muncul semula termasuk daripada generasi baru, kehadiran kami juga akan diterima,” kata Poe yang kini masih aktif membuat persembahan pentas bersama kumpulan The Retired Stoner.

Rampa yang ditubuhkan pada 1984 merakamkan tiga album, Dunia Materialistik (1984), Apa Macam? (1985) dan Antara Kita Dengan Iblis Dan Syaitan (1986). Antara lagu popular kumpulan duo ini adalah Joyah, Jelaskan, Jemputan Kahwin, Hentam Saja dan Pilihlah Daku.

Seperti Poe, Zainal juga turut teruja serta tidak sabar untuk kembali membuat persembahan meskipun kesihatannya belum pulih sepenuhnya.

“Sudah lama kami tidak membuat persembahan bersama, rasanya hampir 30 tahun menyebabkan saya sangat rindukan saat-saat itu.

“Walaupun selepas Rampa berkubur, saya masih aktif bermain muzik bersama beberapa kumpulan. Namun kombinasi saya dengan Poe meninggalkan kesan sangat mendalam di mana sehingga sekarang orang mengenali saya sebagai Zainal Rampa.

“Saya seronok bersama Rampa kerana bebas mengekspresikan muzik saya. Apatah lagi saya dan Poe sekepala serta mempunyai matlamat yang sama iaitu melakukan kritikan sosial melalui lagu.

“Walaupun ada beberapa lagu kami seperti Pilihlah Daku mencetuskan kontroversi sehingga diharamkan namun kami sampaikan secara jujur,” katanya.

Menurut Zainal, walaupun kudratnya kini tidak segagah dahulu, dia cukup bersemangat untuk membuat persembahan di Langkawi kelak.

“Keadaan kesihatan saya baru 30 peratus pulih. Dulu, saya hanya terbaring kerana mengalami lumpuh tetapi sekarang sudah boleh berdiri serta bergerak walaupun terpaksa bergantung kepada tongkat dan kerusi roda.

“Malah, untuk bermain gitar, saya hanya boleh menggunakan dua jari kerana jari yang lain masih lemah. Bagaimanapun, saya yakin masih mampu memberi persembahan terbaik.

“Saya harap kemunculan semula Rampa dapat mengubati kerinduan peminat kami. Malah sejak diuar-uarkan mengenai penampilan semula Rampa melalui laman sosial, kami menerima maklum balas yang sangat positif.

“Saya harap ini permulaan yang baik untuk Rampa melakukan ‘comeback’. Malah, jika ada rezeki, kami berharap dapat menghasilkan single baru,” ujar Zainal.

Sementara itu, penganjur Karnival Jelajah Kembara Merentasi Masa, Ahmad Radzi Abdul Hamid, berharap penampilan semula Rampa pada karnival berkenaan kelak bakal membuka laluan kepada kumpulan itu untuk kembali aktif.

Selain di Langkawi, Rampa dijangka akan membuat persembahan pada beberapa karnival yang bakal berlangsung di beberapa negeri di seluruh Malaysia.

“Karnival ini kelak bukan sahaja sebagai menghargai sumbangan Rampa malah merupakan batu loncatan untuk mereka kembali ke persada seni dan pada masa sama dapat membantu Zainal yang kini kurang sihat,” ujar Radzi.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.