Berita Terkini
recent

Pitam ketika kenduri anak

Hati seorang ibu sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk anak kesayangan pada hari perkahwinannya.

Inilah bukti kasih sayang pelakon Aishah Atan, 47, apabila bertungkus lumus membuat persiapan sempena perkahwinan anak sulungnya, Nurdiyana Shakina Ameera Yasruddin, 27, dengan pasangannya, Mohd Zaid Salleh, 27, minggu lalu.

Dek kerana kerja keras yang dilakukan beberapa minggu sebelumnya, Aishah mencetuskan situasi panik apabila pitam ketika majlis sedang berlangsung.

Aishah berkata, dia sudah lama mempunyai masalah tekanan darah rendah dan ditambah dengan keadaan cuaca yang panas membuatkannya tiba-tiba berasa lemah.

“Saya memang ada masalah penyakit ini sejak remaja lagi. Beberapa hari menjelang majlis ini pun saya asyik siapkan pelbagai benda untuk menjadikan hari ini nampak sempurna

“Selain itu, saya juga perlu jaga makan dan makan mengikut masa. Kalau tak, inilah yang berlaku,” katanya.


ANNE dan Dilla menghiburkan tetamu yang hadir.
Bercerita lanjut, pelakon yang akan tampil menerusi drama Dekatkan Jarak Kita menerusi slot Samarinda ini berkata, agak sukar untuknya melepaskan Diyana kerana menyimpan pebagai kisah suka duka ketika membesarkannya.

“Saya berkahwin pada usia 19 tahun dan melahirkan Diyana ketika berusia 20 tahun. Dua lagi anak saya, Nurdinah Farzana, 13, dan Muhammad Amar Hakim, 9, adalah anak angkat yang dibela sejak kecil.

“Saya bercerai dengan suami pada 1993 ketika usia Diyana tiga tahun dan membesarkannya selepas itu. Saya bersusah payah membesarkannya dengan buat pelbagai kerja serta berpindah-randah,” katanya.

Aishah berkata, corak hidupnya mula berubah apabila menjalani uji bakat di RTM sebagai pelakon tambahan dan akhirnya berpeluang berlakon dalam siri popular Opah.

“Saya selalu tinggalkan Diyana dengan ibu atau kawan-kawan kerana sibuk dengan penggambaran dan ini membuatkan dia sangat berdikari sehingga sekarang,” katanya.

“Sebab itulah saya susah terima kenyataan apabila dia memberitahu ada orang nak meminangnya dan berkahwin kerana tak sanggup berpisah dengannya,” katanya.

Bagaimanapun, hati Aishah mula berubah apabila mendengar ceramah agama dan mendengar nasihat kawan-kawan.

“Sampai bila saya nak halang dia. Lagipun kalau Diyana dapat anak cepat, ibu saya boleh melihat cicitnya. Pasangan Diyana juga seorang guru yang sama-sama mengajar di Sarawak.

“Majlis kenduri menyambut menantu berlangsung di Terengganu pada Sabtu lalu dan alhamdulillah semuanya berlangsung dengan lancar,” katanya yang turut menyewa bas ekspres bagi membawa rombongan ke sana.


RAKAN artis yang menghadiri majlis perkahwinan anak Aishah Atan.
Aishah gembira kerana majlis perkahwinan kendaliannya di Kuala Lumpur berjalan lancar dengan dihadiri 4,000 tetamu terdiri daripada rakan artis dan kenalan.

“Saya rasa nak menjerit setiap kali tengok kawan-kawan artis datang antaranya Datuk A Aida, Datuk Ziela Jalil dan anaknya, Dr Julia dan ramai lagi.

“Selain itu, Liza Abdullah juga bermurah hati jadi pengacara serta kehadiran Anne Abdullah, Dilla Ahmad dan ramai lagi membantu memeriahkan lagi majlis ini,” katanya yang membuat sendiri cenderahati yang diberikan kepada tetamu yang hadir.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.