Berita Terkini
recent

Perkenal Malaysia di mata dunia

Bukan saja mempromosikan negara ini sebagai destinasi pelancongan, filem genre seram Haunted Hotel juga menampilkan gabungan pelakon dari tiga negara iaitu Thailand, China dan Malaysia.

Filem ini memper­taruhkan gandingan Aom Sushar (Thailand) dan Li Chuan (China) selaku teraju utamanya.

Ia dimantapkan dengan barisan pelakon tempatan iaitu Nadia Aqilah, Teddy Chin, Alvin Chong dan Azman Hassan.

Filem ini terbitan Lomo Pictures dengan kerjasama He Media.


Ia juga mendapat sentuhan penulis skrip dan pengarah terkenal iaitu Ryon Lee.

Menurut Lee, pihaknya memilih tempat paling menyeramkan dan terkenal di Malaysia iaitu Amber Court, Genting Highlands, Pahang untuk lokasi penggambaran filem berkenaan.

“Saya ingin memperkenalkan Malaysia kepada dunia. Sebelum ini, banyak filem yang memaparkan keindahan pulau seperti Pulau Redang.

“Saya juga mendapat inspirasi untuk buat cerita seram ini selepas menonton filem genre seram Hong Kong House that Never Die yang berjaya menarik pelancong asing ke tempat berhantu di negara itu.

“Ini adalah filem arahan saya yang keenam tetapi filem seram yang ketiga.

“Pada mulanya, judul asal filem ini ialah Haunted Road 2 dan selepas perbincangan, kami menukarnya kepada Haunted Hotel,” katanya.

Lee ditemui pada sidang media Haunted Hotel yang berlangsung di MBO The Starling, Damansara Uptown di sini, baru-baru ini. Hadir sama, produser filem ini, Aron Koh.

Sementara itu, selaku penerbit, Koh percaya, ramai orang akan berkunjung pusat peranginan terkenal itu selepas mengetahui filem ini memaparkan lokasi sebenar di media sosial.

“Saya juga dapat tahu ada dua pelancong dari China yang datang menginap di Amber Court baru-baru ini.

“Saya dan pengarah juga dapat tahu Amber Court juga dipilih sebagai hotel paling berhantu dari laman web Sina Weibo di China,” katanya

Puas hati lakonan Sushar

Menerusi filem ini, pelakon jelita Thailand, Aom Sushar, 28, melakonkan watak wanita dari China iaitu Ling.

Selaku pengarah, Lee berkata, pemilihan Sushar sebagai heroin kerana aktres itu dikenali di Malaysia dan China.

“Sushar juga dikenali dengan nama Li Haina di China dan memiliki label fesyen sendiri iaitu Sugar Concept.

“Sushar juga dikenali ramai menerusi lakonannya dalam filem Thai yang diadaptasi dari drama Korea seperti Autumn In My Heart dan Full House,” katanya.

Apa yang menarik, Sushar juga mampu menghafal dialog dalam bahasa Mandarin dengan baik walaupun dia tidak memahaminya.


AOM Sushar pegang watak utama sebagai Ling.
“Saya dan hero dalam filem ini, Chuan berpuas hati dengan dialog Mandarinnya itu,” katanya.

Lee juga memuji lakonan Sushar terutama ketika menjayakan babak sukar dirinya tergantung di wayar ketika babak jatuh daripada tingkat empat balkoni hotel.

“Kami ada pasukan kru terbaik di Malaysia tetapi saya tetap bimbang kemungkinan dia takut dengan ketinggian.

“Namun, sebaliknya Sushar sangat profesional ketika di lokasi. Dia adalah pelakon gred A di Thailand tetapi tidak pernah meminta pelakon gantian ketika penggambaran,” katanya.

Filem yang membabitkan penggambaran di lokasi sebenar di Amber Court ini mula ditayangkan di pawagam China pada 12 Oktober lalu dan pawagam tempatan pada 19 November depan.

Selain itu, filem ini turut diedarkan di Hong Kong dan Thailand.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.