Berita Terkini
recent

Penuh elemen futuristik

Dijangka bakal menjadi filem pecah panggung, Blade Runner 2049 yang dibikin semula daripada filem Blade Runner pada 1982 nampaknya menerima pelbagai reaksi berbeza.

Kutipan pembukaan filem terbitan Ridley Scott itu menunjukkan kejatuhan mengejutkan. Hanya mengutip RM54 juta untuk tiga hari tayangan, ia seakan-akan sukar mencapai sasaran kos pembikinannya iaitu RM848 juta.

Terdahulu, pengkritik filem terkemuka, Rotten Tomatoes memberikan rating 89 peratus menandakan karya arahan Denis Villeneuve itu hebat.

Bagaimanapun, terlalu subjektif untuk merungkai punca mengapa filem itu tidak mencapai sasaran kutipan tayangan pembukaan.



RYAN memberikan rasa berbeza terhadap watak K.
Menonton sendiri filem lakonan Ryan Gosling, Harrison Ford, Ana de Armas, Sylvia Hoeks, Jared Leto, Robin Wright dan Dave Bautista itu, banyak pro serta kontra boleh diperkatakan mengenai cerita berunsur futuristik berkenaan.

Mengisahkan seorang ‘blade runner’ iaitu K (Ryan) yang berkhidmat dengan Jabatan Polis Los Angeles merungkai rahsia lama bakal mengubah hidupnya.

Menyentuh watak K, tidak mustahil penonton kurang puas dengan persembahan Ryan. Meskipun tampil dengan karakter yang kuat, caranya mewarnai watak berkenaan boleh dipertikai.

Mungkin disebabkan watak itu robot moden yang membuatkan karakternya kurang emosi. Bagi pengikut setia aktor itu, pasti bersetuju watak lakonannya sebelum ini jauh lebih baik.

Satu hal yang memberikan impak terhadap filem itu adalah berdurasi 163 minit. Cukup panjang dan babak yang bergerak perlahan membuatkan penonton hilang fokus.

Berlatarbelakangkan 2049, ia penuh dengan elemen futuristik. Suasana pada era itu digambarkan dengan cukup meyakinkan.

Mungkin pada mata sesetengah penonton, persekitaran itu nampak mengarut apatah lagi dengan manusia hologram wujud di mana-mana. Namun jika panjang jauh ke depan, apa yang digambarkan dalam filem itu masuk akal.

Selain karakter K, Ford yang melakonkan watak Rick Deckard sebagai bintang utama juga boleh dipersoalkan. Lebih kepada sekadar mengembalikan semula nama Ford namun wataknya kurang impak.


KONSEP hologram menjadi tarikan yang ‘bijak’.
Bahkan, kemunculannya yang cuma hadir pada pertengahan naratif membuatkan ia seakan-akan tidak berbaloi untuk meletakkan dirinya sebagai bintang utama.

Meskipun kemunculan watak Niander Wallace lakonan Jared Leto tidak banyak, aktor terbabit nyata memberikan persembahan terbaik. Sebagai dalang yang bertanggungjawab mencipta blade runner, sisi kejamnya menjadi.

Begitu juga dengan pembantunya iaitu Luv (Sylvia Hoeks). Karakter itu ada kelas tersendiri sebagai wanita tidak berhati perut.

Aspek teknikal, Blade Runner 2049 mampu membawa penonton ke satu tahap berbeza apabila sinematografinya sangat mengagumkan.

Ini terutama sewaktu babak tembak-menembak antara K dan Deckard di panggung mengundang nostalgia. Menampilkan hologram Marilyn Monroe dan Elvis Presley, ia tentunya menarik perhatian pencinta dua legenda ternama itu.


FORD kembali ke layar.
K atau Joe yang bercinta dengan Joi (Ana) menerusi alam maya cukup mencuit emosi. Joi hanyalah hologram ciptaan yang mengisi hari-hari Joe dan melengkapi hidupnya.

Pengorbanan Joi menjadikan percintaan mereka tampak sangat hebat.

Dalam pada merungkai teka-teki yang hampir membuatkan K percaya dirinya sangat penting untuk menyelamatkan komuniti ‘runner blade’, ternyata putaran dibuat pengarah begitu bijak.

Blade Runner 2049 sudah mula menemui penonton di Malaysia sejak 5 Oktober lalu.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.