Berita Terkini
recent

Pengorbanan Irfan Haris

BERGELAR penyanyi ketika masih bersekolah adalah cabaran buat bintang yang sedang meningkat naik, Irfan Haris Othman.

Kongsi Irfan, komitmen belajar dan persembahan pentas membuatkan dia harus membahagikan masa sebaik mungkin.



Bukan itu sahaja, anak muda berusia 16 tahun ini mengakui ada ketikanya dia tidak mendapat rehat yang cukup sebelum ke sekolah.


"Hari biasa saya memang fokus dengan sekolah dan tidak terima apa-apa tawaran, tapi bila hujung minggu saya memang akan berada di luar Johor dan selalunya di Kuala Lumpur untuk memenuhi undangan nyanyian.

"Tidak dinafikan memang penat sebab jadual saya sentiasa penuh, kalau berehat pun hanya selepas pulang dari sekolah.

"Tapi saya kira ini pengorbanan yang perlu saya buat sebab dari kecil lagi, saya sudah bercita-cita menjadi penyanyi. Jadi saya letak ke tepi segala kepenatan itu.

"Walaupun ada ketikanya saya pernah tidur hanya dua jam, sejam dan tidak pernah tidur langsung sebelum ke sekolah," ujarnya kepada Media Hiburan.

Ditanya bagaimana prestasinya akibat rehat yang tidak cukup, Irfan berkata, ia bukan alasan untuk belajar sambil lewa.

"Ibu faham keadaan saya dan mengambil home tuisyen, di mana ada tenaga pengajar yang datang mengajar saya di rumah pada hari biasa Walaupun menyanyi, pelajaran tetap menjadi keutamaan saya," jelasnya.

Kakak jadi rujukan

Dalam pada itu, berkongsi perkembangan terbarunya, Irfan berkata, dia masih lagi sibuk mempromosikan single terbarunya, Pesan, sejak lima bulan lalu.

Buat masa kini, lagu tersebut mendapat jumlah lebih enam juta tontonan di laman YouTube.

Sebelum ini single pertamanya, Redha mencatat lebih 17 juta tontonan di YouTube.

"Alhamdulillah saya tak sangka dalam masa tiga bulan, lagu Pesan ditonton lebih empat juta di YouTube dan jumlah itu terus bertambah.

"Walaupun ini kerjasama pertama saya dengan Haqiem Rusli. tapi saya selesa bekerjasama dengannya dan dia tahu apa yang sesuai untuk saya.

"Jadi saya tidak menolak untuk terus bekerjasama dengan Haqiem lagi selepas ini," katanya.

Ditanya tidakkah dia mahu berlakon atau berduet dengan kakaknya, Amira Othman, ini jawapan Irfan; "Saya memang ada plan untuk berduet dengan kakak, cuma masih belum jumpa lagu yang sesuai. Tengoklah mungkin untuk single keempat atau bila dan jumpa lagu sesuai, saya memang mahu berduet dengan dia.

"Walaupun kami tidak pernah berkolaborasi lagi, tapi saya sering merujuk hal dunia seni kepada kakak dan dia sendiri pernah nyatakan rasa bangganya dengan kejayaan saya kini.

"Untuk berlakon pula, buat masa ini belum ada sebarang tawaran drama, tapi untuk iklan ada. Cuma buat masa ini saya terpaksa tolak kerana kekangan masa.

"Insya Allah selepas sahaja tamat persekolahan nanti, saya rancang untuk menetap di Kuala Lumpur seperti kakak, bagi memudahkan saya meneruskan karier seni," katanya yang kini menetap di Johor Bahru bersama keluarganya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.