Berita Terkini
recent

Peminat Cilik Pesakit Hati Singapura Teruja Jumpa Ayda Jebat

Ayda Jebat sanggup menangguhkan perjalanan pulang ke Malaysia dari Singapura sehari selepas malam Anugerah Planet Muzik 2017 (APM2017) lalu, bagi memenuhi impian seorang peminat ciliknya di Kota Singa itu.

Kongsi Ayda yang baru diangkat sebagai Ikon Media Sosial di APM2017 itu, ketika sedang bersiap untuk bertolak ke Malaysia, satu pesanan masuk di laman sosial Instagramnya dari seorang wanita yang memberitahu anak buahnya berhasrat mahu berjumpa dengannya.

“Bila kami sedang bermesej di ruangan tersebut, wanita berkenaan ada memuat naik gambar kanak-kanak yang dikenali sebagai Hanez Nabila.

“Hati saya terharu dan sebak sebaik melihat gambar yang dikirimkan itu, Hanez sedang dalam wad akibat penyakit kegagalan hati.

“Lalu saya bersetuju melawatnya kerana dimaklumkan, Hanez mahu berjumpa dan khabarnya, dia juga selalu dengar lagu nyanyian saya sambil menari,” katanya.

Penyanyi lagu Mata itu turut menambah, dia rasa sayu namun cuba menyembunyikan perasaan tersebut saat bertemu peminat ciliknya itu.

Meluang masa lebih setengah jam bersama Hanez, kanak-kanak itu turut menyanyikan lagu Nakal Nakal Nakal sambil menari di depannya.

“Saya terharu dan gembira kerana dapat berjumpa dengan Hanez dan meluangkan masa bersama. Meski dia tidak sihat dengan wayar di badan dan mukanya, Hanez tetap senyum dan bersembang dengan saya,” terang Ayda.

Terdahulu, selebriti itu turut dimaklumkan Hanez kerap menonton klip video lagunya sejak berusia tiga tahun lagi dan dia juga pernah beberapa kali memasang impian untuk bersua dengan penyanyi kesayangannya itu.

Katanya, Hanez juga telah beberapa kali meminta untuk berjumpa dengan dirinya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.