Berita Terkini
recent

Peluang 500 Penonton Saksikan Pentas Halaqah Secara Live

Program bual bicara yang telah memenangi Anugerah Program Bual Bicara Terbaik di Anugerah Skrin 2016, Halaqah akan membuka pintunya untuk masyarakat umum buat kali pertama ke sebuah program khas, Pentas Halaqah pada 8 Oktober 2017.

Dihoskan secara langsung oleh Siarawan Hj Ahmad Noor Sulaiman bersama Bintang Ilmuwan Dato’ Dr. Danial Zainal Abidin, Pentas Halaqah hanya akan membuka pintunya buat 500 orang penonton sahaja.

Selain itu, Pentas Halaqah turut akan dimeriahkan dengan persembahan selingan daripada artis tempatan, Khai Bahar dan gandingan Filsuf (Ahli Fiqir) dan Adib Muhibbain. Halaqah telah bersiaran di TV9 selama sembilan tahun dan menggarap 6.4 juta penonton (sumber Nielsen Malaysia) di musim lalu, Halaqah 2016.

Berkonsepkan sebuah perbincangan, Dato’ Dr Danial Zainal Abidin akan diajukan soalan-soalan oleh pengacara Hj Ahmad Noor Sulaiman mengenai topik ketika itu. Dato’ Dr Danial Zainal Abidin pula akan memberikan hujah yang menggabungkan ilmu Al-Quran dan Hadith dengan ilmu logik sains. Hujahnya pula akan disahkan oleh seorang indikator, Ustaz Ahmad Tirmzi Ali dengan membacakan serta menerangkan potongan surah dan hadith yang bersesuaian dengan hujah Dr. Danial.

Di Pentas Halaqah, topik pertama yang akan dibincangkan adalah ‘Bila Dajal Bertanya’ dimana lebih dari 1,400 tahun yang lalu, tanpa dirancang oleh seorang sahabat Rasulullah SAW bernama Tamim Ar Dari telah bertemu dengan makhluk yang paling ditakuti oleh seluruh umat manusia yang akan muncul pada akhir zaman iaitu Dajal al Masih. Pertemuaan itu terjadi saat kapal yang dinaikinya rosak dan berlabuh di sebuah pulau. Dalam pertemuan tersebut Dajal al Masih telah bertanyakan beberapa soalan kepada Tamim yang pada ketika itu seorang penganut Kristian. Apakah soalan-soalan tersebut? Topik ‘Bila Dajal Bertanya’ akan dipecahkan kepada tiga kupasan iaitu mengupas maksud pertanyaan Dajal secara terperinci, serta apakah kaitan pertanyaan Dajal itu dengan kehidupan kita saat ini.

Topik kedua Pentas Halaqah pula iaitu ‘Kuatkah Israel?’ akan membuktikan fakta seluruh umat manusia di dunia saat ini seolah mengakui kehebatan dan kekuatan Israel. Negara yang terbentuk pada tahun 1948 di atas tanah milik umat Islam Palestin itu telah melalui pelbagai tentangan dan krisis berdarah sehingga kini. Namun dengan kemajuan dalam bidang ketenteraan, telekomunikasi, ekonomi, kesihatan, pendidikan, pertanian, teknologi maklumat malah hingga kepada perisikan, seolah kekal kuat di dunia arab. Dengan jumlah rakyatnya yang tidak sampai 10 juta Israel berdiri megah dipentas dunia dan berjaya menundukkan ancaman dari negara-negara Islam. Namun benarkah Israel begitu kuat? Dan sejauhmanakah umat Islam memahami kelemahan Israel?

Selain daripada Hj. Ahmad Noor Sulaiman dan Dato’ Dr. Danial Zainal Abidin, mereka turut akan disertai oleh seorang indikator iaitu Ustaz Ahmad Tirmzi Ali. Dato’ Dr. Danial Zainal Abidin akan memberikan hujah berdasarkan soalan-soalan yang diajukan oleh Tuan Hj Ahmad Noor Sulaiman, dan Ustaz Ahmad Tirmzi Ali akan mengukuhkan lagi hujah beliau dengan bacaan ayat Al-Quran atau hadith yang sahih. Stail program yg hidup, olahan yg mudah lagi semasa, serta berlandaskan metodologi yang mengagungkan sumber rujukan Islam yang utama.

Buat para penonton setia Halaqah yang ingin menonton Pentas Halaqah secara langsung boleh dapatkan tiket dengan harga RM50 di lokasi-lokasi berikut. RM50 ini bukan sahaja untuk tiket, malah ia turut merangkumi kupon makanan bernilai RM15, barangan eksklusif TV9 serta sesi beramah mesra bersama Hj. Ahmad Noor Sulaiman, Dato’ Dr. Danial Zainal Abidin, dan Ustaz Ahmad Tirmzi Ali.

Lokasi Untuk mendapatkan tiket :
Kaunter Tiket: Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam
Hari : Ahad, 8 Oktober 2017 (1 tengah hari - 2 petang)

Atau layari laman sesawang CJ Wow Shop, www.cjwowshop.com.my atau sosial Facebook, Twitter dan Instagram TV9 iaitu @TV9Malaysia.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.