Berita Terkini
recent

Orkestra veteran, muda bergabung

Sempena ulang tahun ke-10, Orkestra Filharmonik Remaja Malaysia (MPYO) buat pertama kali berkolaborasi dengan Orkestra RTM untuk mengadakan konsert MPYO & Friends yang akan berlangsung hujung minggu ini.

Konsert istimewa ini akan menggabungkan bakat termuda negara ini dengan pemuzik berpengalaman Orkestra RTM. Umum sedia maklum ia orkestra paling lama bertapak di Malaysia iaitu sejak 1961.

Dalam konsert ini, dua orkestra berkenaan akan mengiringi tiga artis hebat iaitu Datuk Jamal Abdillah, Adibah Noor serta penyanyi jaz Indonesia, Harvey Malaiholo di pentas Dewan Filharmonik PETRONAS, KLCC pada Sabtu dan Ahad ini, jam 8.30 malam.

Pengarah Artistik Datuk Mokhzani Ismail berkata, konsert berkenaan akan mengetengahkan muzik terdahulu yang digabungkan dengan muzik masa kini.

“Persembahan ini akan memaparkan perjalanan orkestra RTM dari awal penubuhan sehingga kini. Dengan gabungan bersama barisan pemuzik berbakat MPYO yang berusia kurang daripada 25 tahun, konsert ini akan menampilkan persembahan berkualiti,” katanya.

Menurutnya, persembahan juga bukan sekadar menampilkan artis tetapi bagi memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai muzik orkestra.

“Generasi sekarang mungkin kurang terdedah dengan muzik orkestra dan konsert ini bagus untuk mendidik mereka.

“Saya berharap orang ramai menyokong konsert ini,” katanya.

Mengenai pemilihan barisan penyanyi, Mokhzani berkata, Harvey diundang kerana pernah membuat persembahan bersama Orkestra RTM di Pesta Jazz Java, Indonesia pada 2015.

“Manakala Jamal penyanyi terkenal tanah air dan dia juara Bintang RTM 1979. Adibah pula juara Suara 90-an Nescafe pada 1994.

“Bukan mudah untuk menyanyi diiringi orkestra. Ini kerana ada penyanyi yang ‘tenggelam’ apabila membuat persembahan bersama orkestra,” katanya.

Konsert ini akan dipimpin oleh konduktor MPYO Ahmad Muriz Che Rose dan Leonard Yeap dari Orkestra RTM.

Sebanyak 18 lagu akan dipersembahkan pada konsert itu nanti antaranya Dia, Jerat, Hujan, Begitulah Cinta, Kau Lupa Janji, Samrah Mentari dan Ghazal Untuk Rabiah.

Orkestra RTM diiktiraf oleh Malaysian Book of Records sebagai orkestra paling lama bertahan dan setakat ini sudah mengeluarkan 25 album pelbagai genre.

Tiket konsert MPYO & Friends dijual pada harga RM100 dan RM60 boleh dibeli menerusi laman sesawang www.mpo.com.my atau di Box Office Dewan Filharmonik Petronas.
Powered by Blogger.