Berita Terkini
recent

Opick bawa misi kemanusiaan

PEMILIK nama Aunur Rofiq Lil Firdaus, 43, mungkin tidak dikenali jika diperkenalkan dengan nama itu. Nama yang indah dengan maksud yang baik tetapi jarang didengari.

Tetapi apabila disebut Opick, terus yang dibayangkan adalah susuk tubuh sederhana yang sering berjubah dan berserban, melantunkan zikrullah dan lagu-lagu berunsurkan Islam.





Opick, penulis dan penyanyi kepada lagu-lagu itu adalah satu jenama besar dalam kalangan peminat lagu-lagu nasyid dan Iagu-lagu berunsurkan ketuhanan baik di Indonesia mahupun Malaysia.

Beliau yang ditemui Bernama selepas Program Tazkirah Usrah Khas Selebriti-Opick Bersama Nazira Noran di Radio Bernama hadir mempromosikan album terbaharunya-ALLAH Bersamamu. Ia buah tangan ke-19 dari Opick yang diterbitkannya sendiri dan menjalin kerjasama dengan Monkey Bone sebagai pengedar digital. Manakala PNP Entertainment selaku pengedar album di Malaysia.

Opick unik dalam kelasnya yang tersendiri. Malah ramai yang sedia maklum beliau selesa menyanyikan lagu ciptaan dan liriknya sendiri. Di pihaknya, bukan bermaksud beliau sombong tetapi ia lebih memberikan kepuasan dan keselesaan buat dirinya berbanding menyampaikan lagu ciptaan pihak lain.

"ALLAH Bersamamu ini mengupas kehidupan kita semua yang pernah berdepan duka dan derita. Temanya adalah kemanusiaan dan ia turut diilhamkan daripada penindasan yang berlaku di seluruh dunia antaranya Rohingya, Syria dan Palestine," jelas Opick.

Menurutnya, album yang sarat dengan mesej kemanusiaan itu dilahirkan kerana ingin memberi semangat kepada mereka yang diuji agar sentiasa mengingati ALLAH dan ALLAH sentiasa ada bersama setiap hambaNya.

"ALLAH tidak pernah melupakan hamba-hambaNya walau apapun keadaan mereka,” sambung beliau yang pernah menghasilkan lagu Aku Bukan Malaikat nyanyian Datuk Siti Nurhaliza.

Ubah diri

Bapa kepada enam orang anak ini sebenarnya tidak pernah silu bercerita mengenai masa silamnya. Jika di tanah kelahirannya, Indonesia, nama Opick pada awal kemunculannya dikenali menerusi genre pop dan rock serta pernah menganggotai sebuah kumpulan yang dinamakan Timor Band. Antara albumnya ialah Nyanyian Perjalanan dan Pasar Malam Di Kepalamu.

"Alhamdulillah, akhirnya selepas satu album ke satu album, dengan pelbagai cabaran, saya kemudiannya muncul dengan album kompilasi Tausiyah dan Zikir, kemudian selepas itu, barulah muncul dengan album yang berunsurkan ketuhanan-Istighfar,” jelasnya merujuk kepada album pertama yang berunsurkan kerohanian.

Imej 'rocker' pada zaman yang dikatakannya penuh dengan jiwa memberontak perlahan-lahan ditinggalkan Opick setelah jiwanya dijentik hidayah ALLAH.

"Bagaimana manusia itu boleh berubah tanpa ALLAH. Saya dimudahkanNya untuk jalan taubat. Tiba-tiba diberi kesempatan bertemu para ulama, kiyai dan guru. Kemudian Allah mudahkan lagi jalan saya apabila saya mulai belajar menulis (lagu dan lirik). Saya berpegang dengan kata-kata ALLAH di dalam al-Quran yang menyatakan seorang manusia itu diutuskan ALLAH untuk bersaksi, memberi khabar gembira dan peringatan kepada sesama manusia.

"Khabar gembira itu adalah lagu-lagu saya, untuk menghiburkan dan menenangkan .  Di samping itu ia memberi peringatan kepada kita supaya sentiasa mengingati dan membesarkan ALLAH," jelas penyanyi yang popular di Malaysia dengan lagu Rapuh itu.

Malah, lagu-lagu nukilannya sering dijadikan latar dalam beberapa drama di Indonesia dan Malaysia. Opick menganggapnya sebagai rezeki dari ALLAH yang telah memudahkan laluan buat beliau kekal dalam industri.

Beliau juga positif apabila ditanya mengenai tindakan memuat turun lagu-lagunya secara percuma oleh pengguna internet.

"Jika kita lihat, secara keseluruhannya industri muzik ketika ini sentiasa menurun. Ditambah semuanya kini pakai digital. Ya, pada saya tidak apa-apa. Selagi ia boleh menarik orang ke arah kebaikan, itu tidak menjadi masalah. Kerana itulah niat asal saya. Mudah-mudahan apa yang saya hayati dan saya fikir setiap hari akan sampai kepada ramai orang.

Malah jika dikongsi pula kepada saudara-maranya, ia juga tidak apa-apa. Kerana rezeki itu ALLAH yang mengatur,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Opick, itu adalah pendapat peribadinya. Di pihak syarikat rakaman, perkara berkenaan adalah satu kesalahan undang-undang kerana ia melibatkan HakCipta dan kesalahan mencetak rompak.

Berdakwah menerusi lagu?

Beliau juga akur tidak semua orang bersetuju dengan cara berdakwah menerusi lagu. Malah Opick juga padaawal kemunculannya sebagai penyanyi lagu-lagu kerohanian malu digelar sebagai pendakwah. Bagi penyanyi bersuara gemersik ini, dirinya bukanlah layak digelar pendakwah apatah lagi ustaz.

"Saya hanyalah seorang penyanyi yang terinspirasi dengan lagu-lagu berbentuk ketuhanan. Saya juga sering memotivasikan rakan-rakan yang menyanyikan lagu-lagu kerohanian agar tidak mudah putus asa dengan situasi turun naiknya dunia muzik. Kerana bagi saya, setiap bidang memerlukan  individu yang sentiasa mengajak orang lain mengingati dan menceritakan kebesaran ALLAH,” katanya dalam tutur kata yang serba sederhana.

"Menurut saya muzik adalah pakaian kita. Muzik itu bajunya dan isinya adalah manusia. Kalau ia melalaikan, saya fikir banyak juga perkara lain yang melalaikan. Semua perkara dan pekerjaan boleh melalaikan. Jadi guru juga boleh melalaikan, menteri juga boleh melalaikan, keluarga juga boleh melalaikan. Apabila pekerjaan itu melalaikan kita dari ALLAH, maka ia tidak bagus. Tetapi jika ia mendekatkan kita pada ALLAH, tidak salah pada saya."

Bagaimanapun saran beliau, terbaik dalam mencari hiburan ialah banyak membaca dan mendengar ayat-ayat al-Quran, mendengar ceramah dan tazkirah daripada para ustaz.

"Jika ingin mencari hiburan menerusi muzik, carilah muzik yang mendekatkan diri dengan Allah," sarannya yang tidak mahu berbalah mengenai isu khilafiyah.

Jelajah kemanusiaan

Selain mencipta lagu dan menyanyi, Opick turut membuka sebuah pusat tahfiz yang dinamakan Baitul Umah Tombo Ati (nota;maksud tombo-ubat), khusus buat anak-anak yatim dan anak jalanan.

Menurut beliau ada 20-30 pelajar yang tinggal bersamanya dan kira-kira 300 pelajar harian.

Selain itu, beliau aktif dalam aktiviti kemanusiaan dan bakal mengadakan Jelajah Kemanusiaan ke beberapa negara seperti Palestine (Ghaza), Syria, Lubnan dan juga Rohingya bermula Disember ini.

Siri Konsert itu mengambil masa setahun bertujuan mengutip dana untuk disumbangkan kepada pelarian di sana.

"Hasil konsert setahun itu akan kami serahkan sendiri ke kem-kem pelarian, bersama bekalan ubat-ubatan dan makanan. Ia adalah kerjasama dengan sahabat-sahabat saya di Indonesia dan Turki,"jelasnya.

"Walaupun tidak banyak yang dapat dibantu, tetapi kita cuba setakat yang mampu. Apa lagi yang kita boleh lakukan untuk membantu saudara-saudara kita yang teraniaya? Jika kita tidak berusaha merebut  peluang untuk membantu, ALLAH akan kirim orang lain untuk membantu mereka," katanya dalam nada yang agak emosi.

Beliau yang pernah mengadakan persembahan di beberapa negara Islam seperti Mesir, Qatar dan Ghaza sebelum ini berkata akan terus kekal menyanyikan lagu-lagunya di dalam bahasa Indonesia.

"Saya pakai bahasa Indonesia, biar mereka tahu bahasa nusantara ini boleh menyentuh hati. Tidak perlu ubah diri kerana saya yakin mesejnya sampai," jelas Opick yang berpendapat ada bahasa yang tidak dapat ditangkap oleh telinga, tetapi dapat ditangkap oleh hati.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.